Sejarah Pitahati

Penubuhan, pra-EP Bintang Biru Kristal Salju (2011)

Pitahati tertubuh hasil daripada gabungan sahabat pemuzik muda yang sebelum itu aktif dengan kumpulan masing-masing. Kumpulan-kumpulan tersebut, iaitu Manis (yang dianggotai Yasin) serta Ilustrasi (Zahar dan Masrin) dipanggil oleh Ilham sebagai vokalis/gitaris entiti baru yang dinamakan Pitahati sekitar tahun 2011. Pengambilan Hidayat sebagai gitaris ketiga kemudiannya melengkapkan barisan Pitahati.

Sepanjang tahun penubuhan itu, Pitahati mula mengukir nama di dalam suasana seni tempatan sebagai sebuah kugiran sepenuh masa. Antara persembahan-persembahan pertama kumpulan, yang ketika itu sedang ingin meraih audiens pendengar tersendiri dengan keluaran EP Bintang Biru Kristal Salju, adalah penampilan di kaca tivi untuk pencalonan Muzik Muzik sempena lagu tunggal yang bertajuk sama seperti EP tersebut.

Tidak mengambil masa yang lama selepas itu untuk pentas-pentas besar, seperti acara tahunan Festival Hari Belia Putrajaya dan juga festival Urbanscapes, mula mengundang Pitahati.

Fonetik Anak Candal (2012-2014)

Tahun berikutnya 2012 menyaksikan pendedahan Pitahati yang paling berkesan setakat itu, diundang untuk merakam persembahan langsung terus menerus tanpa gangguan, khas untuk laman The Wknd Sessions pada bulan Mei. Penampilan ini menangkap perhatian warga dan pengikut muzik independen serantau dan mengorak reputasi awal Pitahati sebagai kumpulan serius yang sealiran pendekatan mereka dengan kumpulan-kumpulan rock klasik dan konsepsual khususnya Pink Floyd dan Radiohead.

Berikutan itu Pitahati terus kerap menerima panggilan-panggilan dari acara-acara muzik tahunan terkenal Malaysia seperti Rock The World, di mana mereka akhirnya menyertai pesta tempatan tersebut sebanyak tiga kali berturut-turut untuk tahun 2012, 2013 dan 2014.

Album penuh pertama, Fonetik Anak Candal, yang tiba pada tahun 2013 terus menderaskan lagi pergerakan Pitahati, dengan undangan langsung oleh penganjur korporat dan juga independen, serta sempena pelancaran-pelancaran yang diadakan artis dan kugiran semasa seperti Man Under Zero Effort, Vials, dan juga Yazer (Akademi Fantasia).

Tahun 2014 menyaksikan pesta muzik antarabangsa Good Vibes yang diadakan di Sepang, Selangor, menyenaraikan Pitahati di atas pentas yang sama dengan nama-nama dunia seperti Modest Mouse dan Smashing Pumpkins.

Akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015 melihat Pitahati memeriahkan barisan band di majlis-majlis besar-besaran yang meraikan kegiatan seni lokal seperti Yayasan Sime Darby Arts Festival yang diadakan di KLPAC dan juga Tapaufest yang pertama di Penang (festival seni belia dan budaya kreatif independen Malaysia yang pertama diadakan atas daya sokongan peminat dengan cara crowdfund).

OST Terbaik Dari Langit dan Selamat Datang Ke Panggung Suara (2015-kini)

Januari 2015 menyaksikan Pitahati bergabung tenaga semula dengan rakan-rakan segenerasi termasuk Aizat Amdan, Diana Danielle dan Salammusik berserta monoloQue dan Altimet untuk menghulurkan bantuan buat mangsa banjir di konsert Derma Kilat yang kedua anjuran Penerbitan Pancasona.

Dalam tahun yang sama juga Pitahati mengeluarkan lagu mereka yang paling komersil setakat itu iaitu “Sahabat”, bersempena album runut bunyi gubahan mereka sepenuhnya untuk filem Terbaik Dari Langit. Menurut ahli-ahli kumpulan, album penuh seterusnya bakal dibentuk berdasarkan baki-baki bahan karya dari rakaman runut bunyi tersebut.

Album studio penuh kedua Pitahati ditawarkan kepada peminat dalam bentuk piring hitam pra-pesan (ataupun cakera vinyl) pada bulan Ogos 2015, berjudul Selamat Datang Ke Panggung Suara, yang mana kandungannya terdiri daripada "sisa inspirasi" semasa sesi untuk skor filem TDL yang berunsur 'kolaj eksperimental bunyi-bunyian' dan penerokaan forma lagu yang tidak konvensional.

Menurut Ilham juga, LP kedua meresap inspirasi dari kehidupan bohemian 50-an di samping elemen klasikal Melayu dan juga Eropah. Judul-judul trek awal dari album tersebut termasuk “Kemudi”, “Seloka Pak Toyu”, “Balada Aku Engkau”, “Nak?”, “Eternitas”, “Nostalgia Psikotropika” dan juga “Hafiz Sufian”– sebuah trek yang terilham dari minat mendalam terhadap karya-karya penyajak Hafiz.

Penerimaan terhadap album SDKPS lebih berbentuk kejutan daripada pihak pendengar Pitahati yang menjangkakan keluaran yang amat berbeza dengan album studio pertama, Fonetik Anak Candal, yang boleh dianggap 'sedikit mudah untuk ditelan' dengan adanya lagu-lagu seperti “Cahaya Dalam Buta” (diterbitkan dengan monoloQue), “Burung Dalam Kaca”, “Bicara Dan Susunkata” dan juga pembuka/penutup tirai, “Krisendo Silendro”/“Nafas” dan “Melayar”.