Jenis Piuter

Juzuk piuter mula dikawal oleh persatuan bandar di Perancis pada abad ke-12. Pada abad ke-15, syarikat Worshipful Company of Pewterers mengawal juzuk piuter di England. Syarikat ini pada mulanya ada dua gred piuter, diikuti gred ketiga pada abad ke-16. Jenis pertama, iaitu fine metal yang terdiri daripada timah dan secukup tembaga yang boleh diserap (sekitar 1%), digunakan untuk penghasilan pinggan mangkuk. Jenis kedua, iaitu trifling metal atau trifle yang terbentuk daripada fine metal dengan kira-kira 4% plumbum, digunakan untuk membuat barang cembung (teko, tekoan kopi, mangkuk gula dsb). Jenis piuter yang terakhir pula, iaitu lay atau ley metal yang terdiri daripada timah dengan 15% plumbum, digunakan untuk barangan yang tidak bersentuhan dengan makanan atau minuman. Ketiga-tiga aloi ini digunakan tanpa banyak perubahan sehingga abad ke-20.[3]

Kini, piuter mesti mengandungi sekurang-kurangnya 90% timah dan dialoikan dengan tembaga, antimoni, atau bismuth, barulah menjadi piuter, sementara plumbum tidak diterima sebagai unsur pengaloian lagi.[3] Piuter lama yang lebih banyak mengandungi plumbum adalah lebih berat, lebih cepat kusam, dan berwarna perak kekelabuan kesan pengoksidaan.

Aloi tuangan Eropah biasanya mengandungi 94% timah, 1% tembaga, dan 5% antimoni. Helaian piuter Eropah mengandungi 92% timah, 2% tembaga, dan 6% antimoni. Piuter Asia yang pengeluarannya tertumpu di Malaysia, Singapura, dan Thailand, mengandungi peratusan kandungan timah yang lebih tinggi, iaitu lazimnya 97.5% timah, 1% tembaga, dan 1.5% antimoni, jadi aloi ini lebih lembut sedikit berbanding piuter Eropah.[3]