Perundangan Polemik_kedudukan_bahasa_Melayu_di_Malaysia

Dari segi undang-undang Malaysia, bahasa Melayu diperkukuhkan lagi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa itu sebagai bahasa rasmi tunggal. Pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 pula menetapkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa bawah Akta Hasutan 1984. Bahasa rasmi negara itu juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Akta Pendidikan menetapkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua sistem pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi.

Seksyen 17(1) akta itu menyebut, "Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan bawah Seksyen 28 atau institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini".

Pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam institusi pendidikan yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan pula disebut bawah Seksyen 17(2). Namun, bahasa Melayu hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib. Bahasa kebangsaan juga telah menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran awam serta majlis-majlis rasmi kerajaan. Ia turut digunakan secara rasmi oleh Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.

Akan tetapi, penggunaan bahasa Melayu di peringkat mahkamah belum dimartabatkan sepenuhnya. Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 (Akta 32) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang terpakai dalam segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah adalah dengan bersyarat, iaitu Mahkamah boleh memerintah supaya prosiding itu dijalankan sebahagiannya dalam Bahasa Melayu dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.

Negara Malaysia juga mempunyai badan perancangan bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak ditubuhkan pada 1956, DBP memainkan peranan penting terhadap kemajuan dan pembangunan bahasa kebangsaan. Demikian juga peranan penulis dan sasterawan Melayu. Sejak sebelum merdeka lagi pelbagai persatuan penulis dan sastera negara ini gigih memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Rujukan

WikiPedia: Polemik_kedudukan_bahasa_Melayu_di_Malaysia http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php... http://ipohmalay.blogspot.com/2009/08/semakin-rama... http://www.selangordaily.com/?p=931 http://hartalmsm.wordpress.com/2010/09/12/balik-ch... http://www.youtube.com/watch?v=JKX6hPMbEIo http://www.youtube.com/watch?v=qI27Vbe1gVk&feature... http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Martaba... http://www.mstar.com.my/variasi/rencana/cerita.asp... http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/11... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt...