Kedudukan Pulau_Layang-Layang

Pulau ini merupakan tuntutan negara Malaysia terhadap sebahagian daripada pemilikan di Kepulauan Spratly kerana ia berdekatan dengan kawasan tanah. Setelah Kerajaan Malaysia mengisytiharkan terumbu-terumbu Pulau Layang-Layang itu terletak dalam perairan zon ekonomi eksklusif Malaysia pada 20 September 1979, Kabinet Malaysia telah mengarahkan agar kajian dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang yang dalam wilayah negara. Hasil kajian telah melihatkan pembinaan tugu pertama Terumbu Layang-Layang atau Stesen Lima telah didirikan pada 21 Jun 1980 dan pada Mei 1983, 18 anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditempatkan di Terumbu Layang-Layang.[1] Terumbu Layang-Layang terletak kira-kira 162 batu nautika atau sejam penerbangan dari Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan, dengan empat lagi terumbu dikawal oleh TLDM iaitu Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.

Kepulauan Spratly menjadi rebutan beberapa negara seperti China, Vietnam, Filipina dan Brunei kerana dipercayai kaya dengan hasil semula jadi seperti fosforus, gas asli, petroleum dan pelbagai hasil marin yang memukau.