Kepompong Pupa

"Kepompong" dilencongkan ke sini. Untuk siri drama Indonesia, sila lihat Kepompong (sinetron 2004).
Kepompong kupu-kupu Euploea core yang berwarna emas

Kepompong merupakan peringkat pupa kupu-kupu. Apabila beluncas cukup besar, ia menghasilkan segumpal sutera yang digunakan untuk melekatkan tubuhnya pada daun atau ranting. Kemudian, kulit beluncas tersalin buat kali terakhir; di bawah kulit lama ini ialah kulit keras yang dipanggil kepompong.[2]

Oleh sebab sering terbentuk di tempat terbuka, kepompong merupakan contoh pupa yang paling dikenali. Kebanyakan kepompong terlekat pada permukaan dengan bahan seakan Velcro yang ditenun oleh beluncas, biasanya dilekatkan di bawah tenggekan, diperbuat daripada pelekap sutera dan kremaster, iaitu bonjol yang berbentuk cangkuk dari belakang kepompong pada hujung abdomen pupa di mana beluncas melekatkan dirinya pada pelekap sutera.

Seperti dengan pupa yang lain, peringkat kepompong kupu-kupulah yang paling sedikit pergerakannya. Namun demikian, sesetengah pupa kupu-kupu mampu menggerakan segmen-segmen abdomennya untuk menghasilkan bunyi atau menakutkan pemangsa. Di dalam kepompong, berlakunya pertumbuhan dan pembezaan. Dari kepompong ini munculnya kupu-kupu yang mengembangkan sayap dengan menyalurkan hemolimfa ke dalam urat sayapnya.[3] Walaupun perubahan yang cepat dari pupa kepada imago ini sering dipanggil metamorfosis, namun metamorfosis sebenarnya memaksudkan seluruh rantaian perubahan yang dijalani oleh serangga dari telur hingga dewasa.

Sebelum keluar, kupu-kupu menggunakan suatu cecair yang melembutkan kulit kepompong, serta dua cakar tajam yang terletak pada sendi yang tebal di tapak sayap depan untuk membuka jalan keluar.[4] Selepas keluar dari kepompong, kupu-kupu biasanya hinggap pada kulit kosongh itu untuk mengembangkan dan mengeraskan sayapnya. Akan tetapi, jika kepompong terletak dekat tanah (seperti jika ia gugur dari pelekap suteranya), maka kupu-kupu terpaksa mencari satu lagi permukaan menegak untuk berhinggap sambil mengeraskan sayapnya (seperti dinding atau pagar).

Pupa rama-rama lazimnya berwarna gelap dan terbentuk dalam sel bawah tanah, terbiar di atas tanah, ataupun terlindung dalam litupan sutera yang dipanggil kokun.

Adalah penting untuk membezakan pupa, kepompong dan kokun. Pupa ialah peringkat antara larva dan dewasa. Kepompong ialah pupa kupu-kupu. Kokun ialah bekas sutera yang menutup pupa rama-rama dan sesetengah serangga lain.