Kokun Pupa

Kokun ialah bekas buatan sutera yang dihasilkan oleh sebilangan besar beluncas rama-rama,[5] dan banyak lagi larva serangga berholometabolisme sebagai perlindungan buat pupa.

Kokun terdapat dalam pelbagai bentukan, iaitu keras mahupun lembut, legap mahupun lutsinar, pejal atau berjaring, pelbagai warna, ataupun berlapis-lapis, mengikut jenis larva serangga yang menghasilkannya. Kebanyakan beluncas rama-rama membuang bulu larva (seta) untuk diterapkan dalam kokun; jika bulu itu bulu merengsa maka kokun itu juga merengsa sebarang hidupan yang menyentuhnya. Sesetengah larva melekatkan ranting kecil, bebola tahi atau cebisan tumbuhan di bahagian luar kokun untuk menyamar daripada pemangsa. Ada juga yang membentuk kokun di lokasi yang tersembunyi, sama ada di bahagian bawah daun, di dalam rekahan, dekat tapak batang pokok, tergantung pada ranting atau terselindung dalam timbunan daun.[6]

Sutera kokun rama-rama sutera boleh dirungkaikan untuk memperoleh gentian sutera; oleh itu, rama-rama ini merupakan spesies Lepidoptera yang paling penting dari segi ekonomi. Rama-rama ini merupakan satu-satunya Lepidoptera yang diternak dan tidak wujud di alam liar.

Serangga yang menjadi pupa dalam kokun mesti dapat keluar darinya. Pupa berbuat demikian dengan memotong jalan keluar atau merembeskan bendalir yang melembutkan kokun. Sesetengah kokun dibina dengan titisan lembut di dalamnya untuk mudah dikoyak dari dalam, ataupun dengan lubang keluar yang hanya boleh dilalui sekali untuk keluar; ciri-ciri begini memudahkan keluarnya serangga dewasa yang baru keluar kulit pupa.