Warna Putih

Cat

Dalam pengecatan dan pelukisan, putih dapat dicipta dengan memantulkan cahaya sekitar daripada pigmen putih, tetapi cahaya sekitar harus merupakan cahaya putih; kalau tidak, pigmen putih akan kelihatan warna cahaya itu. Putih, sewaktu dicampur dengan hitam, menghasilkan kelabu. Bagi pelajar-pelajar seni lukis, penggunaan warna putih boleh menimbulkan pelbagai masalah yang tertentu, dan terdapatnya sekurang-kurangnya satu kursus latihan yang mengkhususkan dalam penggunaan warna putih dalam seni lukis.

Terdapatnya pelbagai jenis pigmen putih. Putih plumbum, yang juga dikenali sebagai "putih flak", ialah pigmen putih tradisional, tetapi warna ini tidak biasa digunakan sekarang disebabkan oleh sifat toksiknya. Pilihan lain yang tidak toksik termasuk putih zink dan putih titanium yang masing-masing dibuat daripada zink oxida dan titanium dioxida.

Cahaya putih

Sehingga karya Isaac Newton diterima, kebanyakan ahli-ahli sains percaya bahawa putih ialah warna asas cahaya, dan warna-warna yang lain hanya dapat dicipta melalui penambahan cahaya warna yang lain kepada cahaya putih. Newton menunjukkan bahawa cahaya putih dicipta melalui penggabungan warna-warna yang lain.

Dalam bidang sains pencahayaan, terdapatnya kontinum warna cahaya yang boleh dianggap sebagai "putih". Satu set warna yang patut diberikan nama putih ialah warna-warna yang dipancarkan oleh proses pijaran jasad hitam pada pelbagai suhu yang agak tinggi. Ympamanya, warna jasad hitam pada suhu 2,848 kelvin serupa dengan warna yang dihasilkan oleh mentol lampu pijar kediaman. Suhu warna untuk mentol lampu tersebut ialah 2,848 K. Cahaya putih yang digunakan untuk pencahayaan teater mempunyai suhu warna di sekitar 3,200 K. Cahaya siang mempunyai suhu warna nominal sebanyak 5,400 K (digelarkan "putih tenaga sama" (equal energy white)), tetapi boleh berbeza-beza dari merah sejuk sehingga kebiruan 25,000 K. Bukannya semua sinaran jasad hitam boleh dianggap sebagai cahaya putih: untuk memberikan sebuah contoh yang keterlaluan, sinaran latar belakang alam semesta cuma mempunyai beberapa kelvin dan hampir tidak dapat dinampak.

Putih-putih piawai

Putih-putih piawai sering ditakrif melalui rujukan kepada gambar rajah kekromatan Suruhanjaya Antarabangsa untuk Pencahayaan (International Commission on Illumination) (CIE). Ini merupakan punca-punca cahaya piawai siri D. Punca cahaya D65, yang pada asalnya secocok dengan suhu warna 6,500 K, telah diambil untuk mewakili cahaya siang piawai.

Komputer

Paparan komputer seringnya mempunyai kawalan suhu warna yang membenarkan pengguna memilih suhu warna (biasanya daripada satu set nilai tetap yang kecil) untuk cahaya yang dipancarkan sewaktu komputer itu menghasilkan isyarat elektrik yang secocok dengan "putih". Koordinat RGB untuk putih ialah 255 255 255.