Kerjaya Que_Haidar

Penampilan pertamanya di kaca TV adalah menerusi drama Toll Gate Girl arahan Osman Ali dan diterbitkan oleh Tiara Jacquelina pada tahun 2001 ketika berusia 23 tahun bersama aktres Amy Mastura dan Rita Rudaini. Filem pertama lakonan beliau berjudul Haru Biru arahan Shadan Hashim pada tahun 2004 namun hanya pada tahun 2007 filem itu ditayangkan.[perlu rujukan]

Debut beliau di layar perak adalah menerusi filem KL Menjerit 1 pada tahun 2005 yang terus meledakkan nama beliau sebaris dengan aktor-aktor seangkatan seperti Farid Kamil, Fahrin Ahmad, Pierre Andre, Jehan Miskin dan Bront Palarae. Filem-filem popular beliau ialah Zombie Kampung Pisang, Castello, Cinta, Setem dan banyak lagi. Populariti Que di layar lebar dibuktikan dengan kemenangan dua tahun berturut di Anugerah Bintang Popular Berita Harian untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular (ABPBH) pada tahun 2008 dan 2009. Que juga pernah memenangi 2 buah trofi kategori lakonan terbaik di Anugerah Skrin TV3 menerusi dua buah drama TV lakonannya Tuhan Pun Tahu (2007) dan Terlerai Takbir Kasih (2009). Di Festival Filem Malaysia beliau pernah dianugerahkan Pelakon Harapan Lelaki menerusi filem Castello serta 2 kali dicalonkan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik (FFM) pada tahun 2006 dan 2009.[perlu rujukan]

Que membuat keputusan untuk bersara daripada bidang lakonan secara mengejut pada tahun 2010 setelah berkahwin dengan koreografer Linda Jasmine.[2] Biarpun terpaksa mengecewakan peminat-peminat dan pengkarya filem, Que nekad untuk beralih arah ke bidang perniagaan dan kini masih aktif mengajar kelas lakonan setelah bergelar pensyarah di Kolej Sunway. Pada tahun 2012, beliau mengumumkan hanya akan mengambil tawaran lakonan yang bersesuaian dengan kehendaknya. Sejak itu beliau tidak muncul di layar lebar/kaca TV sekerap dulu tetapi setiap karyanya mutakhir ini mendapat perhatian yang baik antaranya filem pecah panggung Lagenda Budak Setan, Rock Oo! (2013) dan drama televisyen Seligar dan Malaikat Yang Tersembunyi. Pada tahun 2013, beliau dilantik menjadi salah seorang tenaga pengajar di Akademi Fantasia musim ke-10.[perlu rujukan]

Selain berlakon, ketika awal kemunculan beliau pernah menganggotai kumpulan pop Sho-gun tetapi mereka tidak sempat merakamkan album penuh. Bakat nyanyiannya boleh dilihat menerusi filem Rock dan Rock Oo! apabila diberi peranan sebagai penyanyi.[perlu rujukan]