Perindustrian Rancangan_Malaysia_Kedua

Beberapa agensi kerajaan yang ditubuhkan sebelum pelancaran RMK2 telah meningkatkan penglibatan mereka di dalam ekonomi negara sepanjang perlaksanaan rancangan ini. Agensi-agensi terbabit termasuklah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Beberapa lagi agensi pula ditubuhkan semasa RMK2 seperti Perbadanan Nasional (PERNAS), Perbadanan-perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan juga Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).[2]

PERNAS ditubuhkan bagi membeli perniagaan-perniagaan dan menyertai syarikat kerjasama dengan sektor swasta selain membangunkan industri-industri perintis yang akan dipegang sehingga golongan Melayu memiliki modal yang mencukupi bagi mengambil alihnya kelak. Sehingga akhir perlaksanaan RMK2, PERNAS memiliki lapan syarikat dengan pegangan 100% yang terlibat di dalam bidang insurans, perdagangan, pembinaan, hartanah, kejuruteraan, sekuriti dan perlombongan. Syarikat kerjasama juga ditubuhkan dengan pihak swasta bagi membangunkan perusahaan perlombongan, pengkontenaan, pelancongan dan perundingan.[2]

Parlimen turut meluluskan Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (Akta 156) sewaktu RMK2 yang memerlukan kesemua syarikat pengeluaran baru dengan M$100,000 atau 25 atau lebih pekerja diberi lesen oleh Menteri Perdagangan dan Industri. Bagi mendapatkan lesen tersebut setiap syarikat perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh kementerian itu, yang boleh berubah-ubah. Pengeluar-pengeluar berketurunan Cina amat tidak senang dengan pengenalan akta baru ini kerana mereka telah beroperasi sebelum ini dengan kawalan yang minimum dari kerajaan.

Walau bagaimanapun, kerajaan menyatakan bahawa akta tersebut tidak dirancang untuk mendatangkan masalah bagi sesetengah kumpulan dan meneruskan perlaksanaannya. Menurut akta ini, syarikat-syarikat swasta dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu syarikat-syarikat yang diluluskan selepas 1 Januari 1972, syarikat-syarikat yang diluluskan sebelum itu dan syarikat-syarikat yang beroperasi tanpa lesen. Kesemua syarikat yang tertakluk di bawah akta tersebut dimestikan menghantar satu rancangan atau cadangan kepada kementerian bagi mencapai sasaran jangka panjang pemilikan syarikat sebanyak 30% bagi orang-orang Melayu dan selebihya bagi bukan Melayu. Cadangan yang diterima kemudiannya dipilih menjadi garis panduan bagi menjalankan kegiatan syarikat.[2]

Sehingga RMK2, sektor perusahaan hanya bertumpu di pantai barat Semenanjung Malaysia. Rancangan baru ini seterusnya membentuk kawasan perindustrian di pantai timur bagi mengekang masalah perpindahan penduduk dari desa ke bandar. Pantai timur sebenarnya kurang membangun berbanding kawasan pantai barat.

Menjelang 1975, kegiatan pengeluaran membentuk sebanyak 16% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, iaitu kurang satu peratus daripada sasaran RMK2. Sektor ini berkembang dengan perlahan pada tahun 1975 akibat kelembapan ekonomi sejagat pada tahun itu. Hal ini berbeza dengan pertumbuhan 15% yang dicapai pada tahun 1974 yang melebihi sasaran sebanyak 12.5% setahun seperti yang dicadangkan oleh RMK2. Makanan, keluaran-keluaran kayu dan kimia membentuk majoriti sektor perusahaan ini. Pertumbuhan ketara sektor pengeluaran sepanjang tempoh ini telah dikaitkan dengan usaha-usaha kerajaan menubuhkan kawasan perdagangan bebas. Pada tahun 1974, kawasan-kawasan tersebut telah diumumkan di negeri-negeri Pulau Pinang, Selangor dan Melaka. Perusahaan yang terdapat di kawasan-kawasan ini kebanyakannya berasasakan elektronik, keluaran getah dan tekstil.[2]

Pada awal RMK2, sektor swasta menggaji kebanyakannya pekerja dari golongan berketurunan Cina. Tetapi, mereka tidak memiliki pegangan hak milik sebenar di dalam perusahaan moden.

Rujukan

WikiPedia: Rancangan_Malaysia_Kedua http://www.cassey.com/fea2003-5.pdf http://www.cid.harvard.edu/hiid/503.pdf http://www.cid.harvard.edu/hiid/731.pdf http://www.bsos.umd.edu/socy/vanneman/socy699J/mfl... http://www.ide.go.jp/English/Publish/De/pdf/97_03_... http://www.econ.upm.edu.my/~fatimah/rural.pdf http://web.archive.org/web/20031209073652/http://w... http://web.archive.org/web/20050410214333/http://w... http://web.archive.org/web/20060209031646/http://w... http://www.avrdc.org/pdf/dynamics/Malaysia.pdf