Pertanian Rancangan_Malaysia_Kedua

RMK2 meneruskan usaha-usaha di bawah rancangan lima tahun sebelum itu seperti Rancangan Lima Tahun Pertama Malaya. Walaupun perbelanjaan bagi pembangunan lain telah meningkat mencecah M$1 juta, dana untuk pembangunan luar bandar juga ditambah. RMK2 menumpukan kepada usaha mempelbagaikan tanaman di Malaysia. Rancangan Buku Hijau dilancarkan pada tahun 1974 dengan tujuan mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import makanan dengan menggalakkan petani-petani menanam sayur-sayuran sepeti kacang panjang, cili dsb. dan menternak haiwan. Keperluan aktiviti pertanian lain seperti baja, benih dan racun perosak pula diberi subsidi.

Penanaman dwimusim padi digalakkan supaya pesawah boleh menuai padi dua kali setahun sekaligus meningkatkan pengeluaran mereka.[10][11][12] Lembaga Pertubuhan Peladang ditubuhkan pada tahun 1973 bagi menyelaras kerjasama dalam sektor perladangan di antara persatuan-persatuan peladang dan agensi-agensi kerajaan.[13]

Pertumbuhan sektor peladang-peladang kecil dipandang penting dalam membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar. Oleh itu, beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah meluaskan saiz program pembangunan mereka. Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah ditugaskan mempelbagaikan ladang-ladang pekebun kecil. Malah RISDA sendiri telah menetapkan satu sasaran untuk membangunkan kawasan sejumlah 150,000 ekar (610 km²) sewaktu RMK2.

Dasar utama seterusnya ialah rancangan mempelbagaikan sektor perladangan dengan penanaman kelapa sawit. Ekonomi Malaysia sebelumnya terlalu bergantung kepada getah. Pada waktu puncaknya, Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) mengeluarkan hampir separuh daripada keperluan getah sedunia. Walau bagaimanapun, Zaman Meleset sekitar 1930-an telah menyebabkan harga getah jatuh merudum dan secara langsung memberi kesan mendalam terhadap ekonomi negara ini. Maka, kerajaan berhasrat untuk mengelak daripada insiden sama berulang kembali dengan mempelbagaikan sektor perladangan. Sungguhpun begitu, RISDA dilihat telah melampaui batas kemampuannya dalam percubaan mengambil semula tanah secara tergesa-gesa dan kemudiannya dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit. Menjelang penghujung RMK2, hanya 40,000 ekar (160 km²) sahaja telah dibangunkan dengan separuh daripadanya ialah ladang kelapa sawit.[14][15]

Dasar kemajuan tanah dan penempatan semula yang dijalankan oleh kerajaan, walau bagaimanapun, telah gagal untuk memberi kesan positif terhadap masalah kemiskinan di luar bandar. Kerajaan hanya berjaya menempatkan semula sejumlah 40,000 orang meskipun dianggarkan sejumlah 535,000 keluarga yang terlibat di dalam usaha tani hidup di bawah paras kemiskinan. Akibat kelemahan program itu, orang yang mendapat faedah daripada rancangan ini tidak selalunya datang daripada golongan yang benar-benar memerlukannya.

Sesetengah pihak juga mengatakan bahawa proses rumit penempatan semula dan pembangunan kawasan baru diberi penekanan lebih berbanding meningkatkan daya pengeluaran ladang-ladang dan kebun-kebun sedia ada. Hal ini seterusnya dirumitkan oleh Perlembagaan Malaysia yang meletakkan kawalan ke atas hal ehwal tanah kepada kerajaan negeri sekaligus memerlukan kerajaan persekutuan berunding dengan setiap kerajaan negeri satu-persatu. Keluarga bukan Melayu di kawasan luar bandar juga tidak menerima faedah ini kerana Perlembagaan Persekutuan memberi peruntukan khas sebahagian kawasan sebagai tanah simpanan bagi orang-orang Melayu dan ini menghalang kerajaan menerima masuk golongan bukan Melayu ke dalam program ini.[16]

Pengusaha-pengusaha sawah padi digalakkan menuai padi dua kali setahun. Untuk tujuan itu, kerajaan membantu dengan menggalakkan penggunaan teknologi jentera.

Walaupun RMK2 telah memodenkan negeri-negeri jelapang padi seperti Kedah dan Perlis (seperti menggantikan kerbau dengan jentera membajak), bukan semua pengusaha kecil menerima manfaat teknologi ini. Di dalam sektor pertanian korporat, orang-orang Melayu hanya memiliki pegangan sekitar 0.3% berbanding 70.8% yang dimiliki oleh kepentingan asing. Berbeza pula keadaanya di dalam sektor bukan korporat yang menyaksikan orang-orang Melayu mengawal sekitar 47.1%. Disebabkan kekurangan modal, kebanyakan pengusaha-pengusaha Melayu masih terlibat di dalam kegiatan berdaya rendah apabila RMK2 tamat.[17]

Rujukan

WikiPedia: Rancangan_Malaysia_Kedua http://www.cassey.com/fea2003-5.pdf http://www.cid.harvard.edu/hiid/503.pdf http://www.cid.harvard.edu/hiid/731.pdf http://www.bsos.umd.edu/socy/vanneman/socy699J/mfl... http://www.ide.go.jp/English/Publish/De/pdf/97_03_... http://www.econ.upm.edu.my/~fatimah/rural.pdf http://web.archive.org/web/20031209073652/http://w... http://web.archive.org/web/20050410214333/http://w... http://web.archive.org/web/20060209031646/http://w... http://www.avrdc.org/pdf/dynamics/Malaysia.pdf