Perlombongan Rancangan_Malaysia_Kedua

Sehingga lewat 1970-an, Malaysia merupakan pengeluar utama bijih timah dengan membekalkan sekitar 40% kepada negara-negara bukan komunis di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, simpanan bijih timah semakin berkurangan. Sumbangan sektor perlombongan kepada KDNK negara ini pula diramalkan jatuh sehingga 13% sepanjang RMK2 kerana berkurangnya simpanan bijih timah dan besi. Tetapi, bauksit dan tembaga terus menyumbang kepada sektor ini di awal 1970-an. Penglibatan kaum Melayu di dalam perlombongan adalah sangat berkurangan dan sekitar 70% daripada sektor ini masih dikawal oleh orang-orang asing.[4] Ini merupakan warisan zaman penjajahan British.

Banyak syarikat British, yang tiba pada kurun ke-19 untuk mengeksploit sumber dan hasil galian asli Malaysia masih belum beredar. Penglibatan masyarakat Melayu di sektor ini diburukkan lagi dengan kecenderungan pihak British pada kurun ke-19 membawa masuk buruh-buruh Cina yang murah dan hampir kesemua pekerja di lombong hingga lewat 1970-an ialah orang-orang Cina.[5]

Petroleum dan minyak mentah mula menyumbang dengan ketara ke dalam ekonomi Malaysia pada dekad 1970-an ketika pelantar dan loji penapis minyak yang baru dibina. Menjelang 1975, jumlah pengeluaran minyak mentah dicatat sekitar 90,000 tong sehari (14,000 m³/h) dan kesemuanya oleh syarikat minyak Shell. Pada tahun 1974, hak eksklusif untuk memiliki, mengkaji dan mengeksploitasi petroleum di Malaysia diberikan kepada syarikat milik kerajaan iaitu PETRONAS. Tahun berikutnya, Petronas dianugerahkan hak tunggal ke atas pemasaran dan pengagihan kesemua keluaran petroleum dan peruntukan untuk mengawal syarikat-syarikat lain tanpa memiliki kepentingan hak milik di dalamnya tetapi melalui terbitan pegangan-pegangan pengurusan kepada Petronas.[6]

Jumlah orang-orang Melayu yang terlibat di dalam sektor perlombongan meningkat bermula pada tahun 1970 ketika kerajaan melaksanakan dasar-dasar merombak sistem ekonomi negara. Semasa RMK2 dimulakan, kurang daripada 200,000 orang-orang Melayu diambil bekerja di dalam industri perlombongan. Menjelang tahun 1990, jumlah itu mencecah sehingga sejuta orang melebihi jumlah yang disasarkan pada asalnya.[7]

Lesen-lesen melombong diperuntukkan khas kepada orang-orang Melayu sebagai usaha menambah pegangan mereka di dalam industri ini.[8] Kerajaan tampak berusaha keras meninggikan pegangan Bumiputera itu dengan memiliknegarakan beberapa syarikat perlombongan yang pernah dimiliki orang-orang asing. Menjelang 1989, perbadanan milik kerajaan mengawal sekitar 60% keseluruhan industri perlombongan.[9] Kerajaan juga dibantu oleh faktor pengeluaran petroleum yang kemudiannya melebihi galian lain. Oleh kerana Petronas merupakan syarikat milik kerajaan, ia juga dianggap sebagai perusahaan Bumiputera. Namun, amalan kerajaan ini telah dikritik dengan hujah bahawa syarikat-syarikat milik kerajaan adalah kepunyaan semua orang dan bukan hanya Bumiputera.

Rujukan

WikiPedia: Rancangan_Malaysia_Kedua http://www.cassey.com/fea2003-5.pdf http://www.cid.harvard.edu/hiid/503.pdf http://www.cid.harvard.edu/hiid/731.pdf http://www.bsos.umd.edu/socy/vanneman/socy699J/mfl... http://www.ide.go.jp/English/Publish/De/pdf/97_03_... http://www.econ.upm.edu.my/~fatimah/rural.pdf http://web.archive.org/web/20031209073652/http://w... http://web.archive.org/web/20050410214333/http://w... http://web.archive.org/web/20060209031646/http://w... http://www.avrdc.org/pdf/dynamics/Malaysia.pdf