Kerjaya Rita_Rudaini

Peragawati

Rita menyertai pertandingan Dewi Remaja 98/99, dan berjaya menjadi finalis. Namun beliau tewas kepada penyanyi pop Juliana Banos. Antara finalis lain pertandingan tersebut adalah Wardina Safiyya dan Julia Hana. Rita pertama kali menjadi model untuk video muzik penyanyi Rem pada 1997. Dalam video muzik Selingkar Kasih itu, Rita melakonkan watak sebagai obsesi Rem.

Pada 1999, setelah dikenali menerusi pertandingan Dewi Remaja, Rita disunting pengarah tersohor, Yasmin Ahmad untuk muncul dalam iklan komersil PEPSI. Dalam iklan tersebut, Rita melakonkan watak sebagai rakan baik kepada penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza. Turut berlakon dalam iklan tersebut ialah model Alan Yun. Nama Rita menjulang naik dalam bidang modeling lewat 1999 hingga 2006. Antara iklan komersil yang dilakonkannya adalah Maybeline, Head & Shoulders, Whiskas, Petronas, Astro Movie Package dan banyak lagi.

Sejak 2005, Rita dilantik menjadi wajah komersil produk Secret Garden. Rita berganding bersama pelakon Maya Karin, Fahrin Ahmad dan Aaron Aziz sebagai wajah kempen prabayar Celcom sejak 2008. Pada 2009, Rita menjadi salah seorang penggerak kepada promosi produk jualan langsung One Drop Perfume. Selain membantu promosi, Rita juga bergelar usahawan produk tersebut. Pada tahun 2010, Rita dan anak lelakinya Airit Rayyan telah dilantik menjadi duta produk ibu dan bayi serta wajah Rita digunakan untuk kempen Safi Rania Gold.

Televisyen dan filem

Rita membina nama sebagai pelakon sejak tahun 2000. Drama pertama lakonannya adalah Dulang Wan Chu arahan Ismail Yaacob. Sejak itu Rita membintangi puluhan drama TV dan drama bersiri. Seringkali menjadi pilihan untuk memegang watak utama.

Di layar perak, Rita diperkenalkan menerusi filem Mendam Berahi, namun kutipan filem tersebut tidak memberangsangkan. Pada 2003, Rita muncul menerusi watak perempuan anak dara tua yang kepoh dalam filem Mami Jarum Junior yang melayakkan beliau tercalon untuk kategori Aktres Terbaik - Festival Filem Malaysia ke 17 bersaing bersama-sama Amy Mastura (Bintang Hati), Maya Karin (Pontianak Harum Sundal Malam), Janet Khoo (Paloh) dan tewas kepada Nasha Aziz (Trauma).

Namun pada 2003, Rita berselisih faham dengan David Teo serta syarikat pengurusan serta penerbitan filemnya Metrowealth Movies Production setelah Rita menarik diri daripada memegang watak pembantu dalam filem Cinta Kolestrol (watak itu diganti oleh aktres Aleeza Kassim). Akibatnya, kerjaya lakonan Rita di layar perak mula suram akibat campurtangan beberapa pihak yang mempersoalkan isu kontrak Rita bersama produksi tersebut. Isu itu selesai secara baik, dan kerjaya lakonan Rita mula menyinar pada 2005 setelah membintangi drama Rafflesia. David Teoh mula berhasrat untuk menyunting semula Rita untuk filem-filemnya pada 2007 setelah aktres itu kembali ke puncak populariti.

Pada 2008, Rita mencetuskan kontroversi apabila tidak menghadiri penggambaran filem Kantoi arahan Ahmad London. Perselisihan faham tersebut berakhir apabila Rita menarik diri dan digantikan oleh aktres Rozita Che Wan. Filem tersebut kini masih belum ditayangkan ekoran beberapa masalah.

Sepanjang menceburi bidang lakonan, Rita berpeluang bekerja dengan pengarah-pengarah seperti Rashid Sibir, Kabhir Bhatia, Aziz Chunk Adnan, Amie Maziah, A Razak Mohaideen, Silver Chung, dan Feroz Khan. Banyak drama-drama dan filem lakonan Rita meraih anugerah seperti drama Rafflesia, Bicara Aur dan Tebing yang dinobatkan sebagai Drama Bersiri Terbaik di Anugerah Seri Angkasa dan Anugerah Skrin. Sementara filem Cinta pula memenangi anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia.

Hero yang paling kerap digandingkan bersama Rita ialah aktor Rosyam Nor sejak drama kedua lakonan Rita iaitu Kabus & Sinar (2000) kemudian drama TV Daun Ketupat Kering (2006) serta drama bersiri kegemaran ramai seperti Biarku Sentuh Cintamu, Rozana dan Iris. Rita merupakan salah seorang heroin paling cocok buat Rosyam selain Umie Aida, Nasha Aziz & Eja.

Sejak 2009, Rita sering digandingan dengan aktor Singapura, Aaron Aziz.

Muzik

Pada 2001, Rita turut serta dalam rakaman runut bunyi filem Mendam Berahi. Dua buah lagu beliau yang sempat diputarkan di corong-corong radio pada 2002 adalah Kekal & Terbanglah. Bakat nyanyian Rita mendapat kritikan positif daripada wartawan hiburan. Rita pernah merakamkan album solo pada 2002 diterbitkan oleh LY dan Sham Kamikaze, namun hanya sempat menyiapkan rakaman 6 buah lagu sebelum menghadapi masalah dengan syarikat rakaman, MIG Production. Ketika masih dalam proses rakaman, Rita pernah menyuarakan hasrat untuk merakamkan lagu-lagu yang berentak 'Amy Mastura'.