Biografi Saadiah

Saadiah melibatkan diri dalam dunia perfileman setelah selalu berulang alik ke Studio Jalan Ampas untuk menemani kakaknya, Mariam Baharum (Mariam Tahi Lalat). Namun satu hari, beliau ditawarkan peluang berlakon oleh pengarah B S Rajhans untuk membintangi watak kecil dalam filem Rachun Dunia lakonan Osman Gumanti, Kasma Booty dan P Ramlee. Saadiah lebih gemar membawakan watak wanita yang menanggung derita dan menolak watak sebagai wanita curang. Antara filem yang pernah dilakonkan bersama-sama P. Ramlee ialah Juwita, Anjoran Nasib, Sedarah, Penarek Becha, Hang Tuah, Semerah Padi, Sarjan Hassan, Musang Berjanggut dan Antara Dua Darjat.

Filem terakhir lakonan beliau adalah Matinya Seorang Patriot arahan Datuk Rahim Razali pada 1984 bersama Eman Manan, Noor Kumalasari, Yusof Wahab dan Zulkifli Zain. Selepas itu, kesihatan beliau tidak begitu mengizinkan untuk terus berlakon, justeru beliau lebih banyak menguruskan keluarganya.

Beliau telah berkahwin dengan Datuk Ahmad Daud dan juga ibu kepada Fauziah (juga dikenali sebagai Ogy), Fazlina, dan Faizal. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 26 Februari 2005 kerana menghidap penyakit kencing manis.[1][2]