Kerjaya Sanusi_bin_Junid

Kerjaya korporat dan perkhidmatan kerajaan

Sanusi memulakan kerjayanya sebagai pegawai pelatih di Standard Chartered Bank, Seremban pada tahun 1963. Pada tahun 1971, beliau dilantik sebagai Pengurus Kanan Pinjaman Chartered Bank, Kuala Lumpur.

Tan Sri Sanusi menjadi Pengarah Bank Simpanan Nasional dan Pengerusi Syarikat Insan Diranto Bhd pada tahun 1975. Dua tahun kemudian, pada 1977, beliau dilantik sebagai Pengerusi Tugu Insurance Sdn. Bhd. dan Pengerusi Obanto Management Consultancy Sdn. Bhd. Beliau juga adalah Pengasas dan Pengurus pertama Koperasi Shamelin.

Pada tahun 1978, Tan Sri Sanusi dilantik sebagai Ahli Jemaah Universiti Teknologi MARA dan seterusnya pada tahun 1982, beliau menjadi Ahli Penasihat Kobena dan Ahli Majlis Universiti Malaya. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebangsaan dan Ahli Majlis Perdagangan Malaysia pada tahun 1983, dan pada Februari 2000, beliau menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tan Sri Sanusi pernah juga memangku jawatan sebagai Naib Presiden ABIM dan Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Selain daripada itu, Tan Sri Sanusi juga dilantik oleh kerajaan Malaysia untuk memegang beberapa jawatan, antaranya:

  • Ahli Majlis Perundingan Belia Negara
  • Ahli Lembaga FELDA
  • Ahli Majlis Perundingan Negara Mengenai Latihan Perusahaan
  • Ahli Majlis Penasihat Kebangsaan Pelindung Pengguna.
  • Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
  • Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan Bumiputera
  • Ahli Majlis Tindakan Negara
  • Ahli Majlis Perancang Negara.

Kerjaya politik

Sanusi melibatkan diri dalam bidang politik sebagai ahli UMNO Seremban sewaktu bermula bekerja pada tahun 1963. Kebangkitannya dalam bidang politik boleh dikatakan pantas dan lancar.

Setahun selepas keahlian di UMNO, Sanusi dilantik sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Seremban dan kemudiannya pada tahun 1966, beliau dilantik sebagai Bendahari UMNO Bahagian Seremban Timur. Sanusi menjadi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Seremban Timur dan Setiausaha UMNO Bahagian Seremban Timur pada tahun 1967.

Pada tahun 1974 semasa berumur 31 tahun, Sanusi mengambil bahagian dalam pilihan raya dan dilantik sebagai Ahli Parlimen Jerai, Kedah. Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerai pada tahun 1975 dan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kedah pada tahun 1978.

Bakat kepimpinan yang terserlah pada dirinya menyebabkan beliau diberi kepercayaan dan dilantik memegang beberapa jawatan penting di dalam kabinet. Pada tahun 1978 sehingga tahun 1980, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Kemajuan Wilayah dan selepas itu sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada tahun 1980 hingga 1981.

Pada tahun 1981, Sanusi telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1986. Pada tahun tersebut, beliau juga dilantik memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia, Pengerusi Biro Penerangan UMNO Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Dalam pilihan raya tahun 1982, Sanusi dilantik sebagai Ahli Parlimen Kawasan Jerlun, Langkawi dan kemudiannya dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Seterusnya, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO Malaysia pada tahun 1984.

Pada tahun 1986, Tan Sri Sanusi menjadi Menteri Pertanian dan Ketua Bahagian Jerlun, Langkawi. Kemudian beliau dilantik sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia pada tahun 1990. Sanusi menjadi Menteri Besar Kedah Darul Aman yang ketujuh dan menyandang jawatan tersebut pada 16 Jun 1996 sehingga November 1999. Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuah pada tahun 2000.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran, antaranya D.S.S.M., S.S.S.A., D.G.S.M., Setia Mahkota Kedah (S.M.K.), Dato' Setia Di Raja Kedah (D.S.D.K.), Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) dan Seri Setia Di Raja Kedah (S.S.D.K.).

Pada 19 Mei 2008, beliau keluar dari UMNO bersama Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi yang gagal membela nasib orang Melayu dan hanya mementingkan kepentingan keluarga sehingga membelakangkan negara.[perlu rujukan] Seterusnya pada 2 Jun 2008, perkhidmatannya sebagai presiden UIAM ditamatkan[4] setelah beliau bersama semua duta negara-negara Islam di Malaysia dan ahli lembaga pengarah UIAM, menolak cadangan Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan UIAM sebagai pusat pengembangan Islam Hadhari, iaitu sesuatu yang dianggap oleh mereka sebagai tidak diperlukan, mengelirukan dan memecah belahkan ummat.[perlu rujukan]

Kumpulan ucapan-ucapan serta penulisan dan cerita pengalaman beliau boleh dibaca di blog beliau www.sanusijunid.blogspot.com.

Rujukan

WikiPedia: Sanusi_bin_Junid http://www.sanusijunid.blogspot.com http://www.mykedah2.com/20hall_fame/203_7.htm http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita... http://sanusijunid.blogspot.my/ http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms... http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/... http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jenazah-s... http://web.archive.org/web/20180309171538/https://... http://web.archive.org/web/20180309171542/https://... http://web.archive.org/web/20180309172801/http://w...