Kerjaya Sazzy_Falak

Sazzy pada 2017

Sazzy pernah menimba pengalaman sebagai seorang pelakon teater sejak berusia 11 tahun; ketika itu beliau menerima latihan dari Joe Hasham yang ketika itu masih remaja.[4] Beliau mula menceburi persada hiburan televisyen pada tahun 2000 sebagai pengacara Muzik-Muzik pada usia 18 tahun. Pada tahun 2002, beliau berlakon dalam televisyen buat julung kali melalui penampilan dalam filem pendek Piala Untuk Mama arahan Osman Ali di ntv7. Selepas itu beliau juga pernah menjadi penyampai radio dan beralih ke Beat TV di Astro Ria dari 2002 sehingga 2005.

Sazzy turut memegang jawatan sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat IT, sehingga 2003 apabila beliau melepaskan jawatan itu untuk menjadi bintang televisyen sepenuh masa.[4] Sazzy juga pernah mengacarakan MTV Jus di Singapura sebelum menyerahkan tugas itu kepada Nur Fazura pada tahun 2006.[5]

Sazzy mula berlakon dalam filem dengan menjayakan watak Shasha dalam filem Gol & Gincu arahan Bernard Chauly pada tahun 2005 dan Gol & Gincu The Series selama dua musim berturut-turut dari tahun 2006 hingga 2007. Sempena Aidilfitri pada tahun 2006, Sazzy menyumbangkan suara kepada Cappy dalam versi alih suara Bahasa Malaysia bagi filem animasi Robots untuk ditayangkan di Star Movies (kini Fox Movies).[6] Pada akhir 2006 hingga awal 2007, Sazzy mengacarakan rancangan Blast Off! di hitz.tv.

Pada tahun 2007, selain Gol & Gincu, Sazzy juga memgang watak sampingan dalam KAMI - The Series sebagai Alisha, kakak kepada Ali (lakonan Syarul Ezani). Sazzy juga menyertai barisan lakonan siri drama Internet Kerana Karina yang dibintangi Marsha Londoh. Beliau juga turut berlakon dalam Tipu Kanan Tipu Kiri yang ditayangkan pada September 2008. Sazzy kembali menjayakan watak Shasha lakonannya dalam filem Gol & Gincu Vol. 2 arahan sulung Umi Salwana Omar yang ditayangkan pada 25 Oktober 2018.[7][8]