Sejarah Sekolah_Menengah_Kebangsaan_Nan_Hwa

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Nan Hwa dikenali sebagai Sekolah Tinggi Nan Hwa pada masa ia ditubuhkan pada 24 November 1935. Sekolah ini merupakan gabungan bahagian kelas menengah yang dibuka di Sekolah Rendah Uj Dih, Chinese National Chung Cheng dan Min Tee pada masa itu.

Perkembangan Sebelum Perang Dunia Kedua

Sekolah ini dibuka pada 11 Januari 1936. Pelajar-pelajar perintis seramai kira-kira 100 orang memulakan pengajiannya di kediaman Padri Lee Kor Ting di Kampung Koh, Sitiawan. Pada tahun itu juga, tapak sekolah telah dibeli dengan wang kutipan derma berjumlah RM3000.00. Pembinaan dua blok bangunan yang mengandungi 10 buah kelas dan sebuah dewan siap pada 1939. Bilangan pelajar meningkat melebihi 300 orang. Sekolah ini ditutup pada pemerintahan tentera Jepun iaitu dari 1942 hingga 1945.

Perkembangan Selepas Perang Dunia Kedua (1946-1961)

Selepas Perang Dunia Kedua tamat, sekolah ini dibuka semula pada 28 Januari 1946. Bilangan pelajar pada ketika itu kira-kira 200 orang. Pada tahun 1954, kelas menengah atas dimulakan. Mulai 1958, bilangan pelajar meningkat dengan pesat dan pada tahun 1960, jumlah pelajar melebihi 1200 orang. Dalam tempoh ini, 8 buah bilik darjah tambahan dibina. Di samping itu, sebuah dewan besar juga dibina pada tahun 1958.

Perkembangan Selepas Sekolah Ini Menerima Bantuan Penuh – Titik Peralihan

Pelaksanaan Akta Pelajaran 1961 merupakan titik peralihan bagi sekolah ini. Pada tahun 1961, Lembaga Pengurus menerima tawaran kerajaan supaya sekolah ini dijadikan sekolah Bantuan Penuh Kerajaan. Mulai 1962, sekolah ini dibahagikan kepada dua, iaitu SMJK Nan Hwa dan Sekolah Tinggi Nan Hwa. Bilangan pelajar SMJK Nan Hwa pada masa itu ialah 521 orang. Pengetua pertama ialah Encik Chin Neng Siang dan Pengerusi Lembaga Pengurus ialah Dato’ Dr. Ling Sing Hang.