Sejarah Sekolah_Menengah_Sains_Tapah

Sebuah Projek Kerajaan Persekutuan

Papan tanda projek pembinaan SESTA, sewaktu masih belum dibuka.

Persaingan mencapai kecemerlangan dalam dunia pendidikan menuntut lahirnya sebuah lagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negeri Perak Darul Ridzuan. Kewujudan sebuah lagi SBP di Daerah Batang Padang ini membawa hasrat untuk meneruskan lonjakan kecemerlangan SBP di negara ini. Sekolah yang diberi nama Sekolah Menengah Sains Tapah bersempena lokasinya di pekan Tapah terletak di Jalan Pahang kira-kira 4 kilometer dari Pekan Tapah dan merupakan laluan utama ke Cameron Highland.

Projek pembinaan Sekolah Menengah Sains Tapah ini bermula pada tanggal 12 Oktober 2006 dan dijadualkan siap pada 11 November 2008. Namun atas masalah yang tidak dapat dielakkan projek ini hanya dapat disiapkan pada 29 Ogos 2009. Projek yang menelan belanja yang bernilai RM38,482,000.00 merangkumi pelbagai kemudahan bagi sekolah berasrama penuh. Sekolah Menengah Sains Tapah meliputi keluasan tanah seluas 30 ekar.[2]

Semasa Pembinaan

Sepanjang tempoh pembinaan projek sekolah ini, Encik Zulkarnain bin Zainal Abidin telah dilantik sebagai ‘caretaker' yang berkuatkuasa Mac 2009 . Ketika beliau tiba di sekolah ini didapati masih banyak lagi kerja-kerja pembinaan yang belum terlaksana. Atas sebab itu, pihak kementerian telah mengarahkan En Zulkarnain bin Zainal Abidin kembali bertugas semula di Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, Perak Darul Ridzuan untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Penolong Kanan Pentadbiran. Pada 16 Jun 2009 beliau sekali lagi telah diarahkan ke sekolah ini dan ketika itu hanya kira-kira 10% lagi kerja-kerja pembinaan belum dapat disiapkan. Keadaan ini memaksa Encik Zulkarnain bin Zainal Abidin berulang alik dari Ipoh ke Tapah kerana sebagai ‘caretaker' , beliau bertanggungjawab menguruskan pelbagai urusan berkaitan pembukaan sesebuah sekolah. Antara kewajipan beliau ialah menguruskan pendaftaran sekolah, penempatan guru serta staf sokongan sekolah, penerimaan bekalan perabot dan peralatan sekolah dan hal berkaitan kewangan dan akaun sekolah. Selain itu, beliau juga bertanggungjawab untuk menguruskan perkhidmatan pembersihan kawasan sekolah.

Pembukaan

Majlis penyerahan projek siap sekolah ini telah diadakan pada 23 Oktober 2009 oleh pihak kontraktor kepada Puan Hajah Norlia binti Mohd Shuhaili selaku Timbalan Pengarah yang mewakili Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster mewakili Kementerian Pelajaran Malaysia. Seterusnya beliau menyerahkan sekolah ini kepada Encik Zulkarnain bin Zainal Abidin sebagai peneraju utama Sekolah Menengah Sains Tapah (SESTA).

Apabila Sekolah Menengah Sains Tapah telah diserahkan maka perabot dan peralatan sekolah telah mula diterima mulai bulan Disember 2009. Manakala untuk mengawal keselamatan sekolah, sebuah syarikat kawalan keselamatan telah dilantik menjalankan tugas mulai 1 Februari 2010.

Pengetua pertama yang ditugaskan mengetuai Sekolah Menengah Sains Tapah ialah Encik Hadi bin Mat Dain bermula 1 Februari 2010. Beliau berpengalaman luas dalam dunia pendidikan SBP kerana pernah menabur bakti di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA), Raub, Pahang dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh, Pahang. Beliau turut dibantu oleh tiga orang guru penolong kanan iaitu Encik Zulkarnain Bin Zainal Abidin sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Asma Azmin Rashid Bin Mohd Nawawi sebagai Penolong Kanan HEM dan Encik Zulkipli Bin Abd. Latip sebagai Penolong Kanan Kokurikulum. Sehingga bulan Mac 2010, sekolah ini telah menerima kehadiran guru seramai 35 orang.

Sekolah ini telah menerima kemasukan pertama murid tingkatan 1 pada pertengahan April 2010. Oleh kerana masalah kekurangan kakitangan dan alatan, pengambilan murid tingkatan 4 hanya dapat dijalankan pada tahun seterusnya.

Walaupun merupakan sebuah sekolah menengah berasrama yang masih baru, sekolah ini telah mencatatkan kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Perubahan Pentadbiran Awal

Pada tahun 2012, telah berlaku perubahan dalam barisan pentadbiran sekolah ini. En. Asma Azmin Rashid, Penolong Kanan HEM telah bertukar ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng pada penghujung Julai, lantas menyaksikan En. Safarim memangku jawatan berkenaan sebelum memegangnya secara rasmi tidak lama kemudian. Cik Ainun Marziah Abdul Rahman (kemudiannya Hajah) daripada Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) mengisi pula kekosongan jawatan Penolong Kanan Kokurikulum pada bulan Oktober tahun yang sama. Pada 1 November tahun yang sama juga menyaksikan pengetua, En. Hadi telah bertukar ke SMK Sri Bahagia, Temerloh, Pahang. Pertukaran ini hanya diumumkan kepada umum melalui SMS beliau kepada En. Zulkarnain, Penolong Kanan Pentadbiran yang dibacakan ketika Majlis Anugerah Kokurikulum dan HEM pada 31 Oktober. Pada 1 Oktober 2015, Tuan Haji Sulaiman bin Haji Samsudin telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Pendidikan Daerah di Pejabat Pendidikan Hilir Perak menyaksikan Tuan Haji Mohd Rezazali bin Ahmad Ansar, Penolong Kanan Pentadbiran dari SBPI Gombak menggantikan tempat Tuan Haji Sulaiman sebagai Pengetua SESTA yang baharu berkuatkuasa 1 Disember 2015.