Permulaan Serang_Hendap_Di_Sungai_Semur

Pada awal bulan Mac 1950, Kompeni D, Batalion 3 Askar Melayu yang berpengkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan telah dihantar untuk tugas "search and destroy" berhampiran Gua Musang, Hulu Kelantan kerana dikhuatiri menjadi tempat persembunyian komunis. Kompeni ini terdiri daripada:

  • Platun 11 dan Platun 12 di Pengkalan Pulai
  • Platun 10 di Pengkalan Bertam

Pada 23 Mac 1950, jam 7.30 pagi, pasukan Platun 12 dengan kekuatan 25 anggota tentera diketuai oleh Leftenan Muda Hassan Bin Yassin, Koperal Jamaludin Bin Mohamad, empat Lans Koperal, dan 19 prebet ditugaskan membuat rondaan ke Sungai Nenggiri selama tiga hari. Platun ini disertai oleh sepasukan Polis Khas atau Special Constable berkekuatan 16 anggota yang diketuai oleh Sarjan Wan Yaacob yang sedang membuat pemantauan ke atas sekumpulan lelaki Cina seramai 18 orang dari kampung Pulai yang sedang membuat kerja mengumpul atap nipah di dalam hutan. Seterusnya, anggota Platun 12 bermalam di hutan, manakala 16 anggota SC bersama dengan pekerja Cina berkenaan.[1]

Pada keesokan harinya, jam 2 petang, mereka berhenti makan tengah hari selepas selesai membuat rondaan. Leftenan Muda Hassan kemudian memberi arahan untuk pulang ke pangkalan mereka di Pulai pada hari seterusnya.