Kombat Shinigami_(Bleach)

Shinigami mempunyai empat kaedah kombat: kidō, pertarungan fizikal, pergerakan kaki dan seni bermain pedang.

Kidō

Artikel utama: KidōSeni syaitan (鬼道, kidō) merupakan sejenis sihir yang digunakan oleh shinigami. Teknik ini digunakan untuk beberapa tujuan seperti merawat, menyerang dan mengikat. Kemahiran merawat ialah bidang yang lebih am manakala teknik menyerang dan mengikat (mengunci pergerakan) memerlukan bacaan jampi. Seni syaitan dibahagikan kepada dua kumpulan utama: jampi letupan (破道, hadō) yang digunakan untuk serangan langsung, dan jampi mengikat (縛道, bakudō) yang digunakan untuk mengunci pergerakan seseorang. Seni syaitan sebegini digunakan dengan membaca jampi yang rumit dan panjang diikuti dengan nama serangan atau teknik pengikat. Versi yang lebih remeh pula hanya memerlukan bacaan nama teknik yang ingin digunakan. Tetapi, kesan jampi berkenaan adalah lebih lemah.

Pertarungan fizikal

Pukulan putih (白打, hakuda) dalam Bleach tidak berapa ditekankan. Bahagian khas tertentu, terutamanya mereka yang berada di peringkat atasan seperti Soifon, telah dilatih untuk menguasai teknik pertarungan fizikal.

Pergerakan kaki

Seni pergerakan kaki (歩法, hohō), seperti pertarungan fizikal, tidak diberi penekanan dalam Bleach. Langkah kilat (shunpo), sejenis teknik pergerakan fizikal yang membolehkan tindak-tanduk penggunanya tidak dapat diikuti oleh mata kasar dikatakan tergolong dalam teknik pergerakan kaki.

Seni bermain pedang

Artikel utama: Zanpakutō

"Teknik memotong" (斬術, zanjutsu) merupakan teknik kombat yang paling biasa digunakan oleh shinigami kerana zanpakutō mereka dapat menewaskan pihak lawan dengan berkesan. Teknik ini menggunakan zanpakutō dan keupayaan tersendiri zanpakutō untuk menyerang pihak lawan. Selain daripada bentuk asalnya, zanpakutō mempunyai dua bentuk yang istimewa: pembebasan tahap pertama (shikai) dan pembebasan tahap terakhir (bankai) yang akan menukarkan bentuk pedang bagi membebaskan potensi sebenar zanpakutō serta penggunanya.