Ciri-ciri Siamang

Bulu Siamang berwarna hitam atau perang kemerah-merahan. Mereka hidup berkumpulan antara enam hingga tujuh ekor. Siamang jantan lebih besar berbanding dengan siamang betina, dan bersikap agresif apabila diganggu. Sewaktu terdapat bahaya, siamang betina akan mengeluarkan suara yang nyaring dan diikuti oleh siamang jantan selama tiga hingga lima belas minit.

Siamang mahir bergayut tetapi pergerakannya terhad di atas tanah. Siamang betina berjalan tegak dengan sebelah kaki depannya diangkat serta diletakkan di belakang kepalanya manakala siamang jantan berjalan dengan sokongan sepasang kaki depan.

Siamang mampu melahirkan seekor anak setahun jika tiada gangguan persekitarannya, akan tetapi sekiranya terdapat gangguan habitat seperti penebangan hutan, kelahiran hanya berlaku tiga tahun sekali. Siamang jantan akan menjaga anak sebaik sahaja bercerai susu.

Siamang bangun sejurus sebelum matahari terbit dan mula tidur sejurus selepas matahari terbenam. Ia menghabiskan tujuh puluh peratus masanya untuk mencari makanan. Makanan paginya ialah buah-buahan yang ranum dan selepas itu, ia hanya makan pucuk-pucuk kayu.

Siamang takut akan air. Biasanya ia akan mencelupkan kaki depannya ke dalam air, dan menghisap air pada bulu kakinya itu sebagai minuman. Ia juga akan mendapatkan air minuman dari dalam tunggul pokok.