Perkembangan Silat

Pertandingan final Pencak Silat pria kelas E 65kg - 70kg. Di sebelah kiri Al Jufferi (Malaysia - pingat emas) vs Nguyen Duy Chien (Vietnam - pingat perak). 17 November 2011 pada Sukan SEA XXVI Indonesia 2011 di Padepokan Pencak Silat, Jakarta Timur, Indonesia.

Selepas merdeka (1957), terdapat ratusan aliran Perguruan Silat di Malaysia. Pemerintah di Malaysia telah mengarahkan pengamal silat mengadakan persatuan silat dan didaftarkan atas tujuan membina, menyusun dan mengurus silat dengan lebih baik. Saranan tersebut disambut baik, maka beberapa kumpulan silat telah didaftarkan. Di sinilah bermulanya keberadaan pelbagai nama aliran penguruan silat kerana setiap pendaftar mestilah mempunyai nama kumpulan masing-masing.

Pada tahun 1978, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia ketika itu berusaha untuk mengadakan satu badan atau gabungan peringkat negara yang boleh membangunkan silat secara lebih berkesan, maka wujudlah Majlis Seni Silat Malaysia (1983). Kemudiannya, majlis tersebut ditukar kepada nama baru iaitu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia atau PESAKA Malaysia, dan lulus pendaftarannya pada 1986. PESAKA Malaysia telah dianggotai oleh empat anggota bertaraf badan pendiri PESAKA Malaysia iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayong Malaysia, Silat Lincah Malaysia dan Silat Cekak Malaysia. Lain-lain perguruan silat menjadi anggota PESAKA Negeri yang diwujudkan di setiap negeri di Malaysia. Hal ini bermakna seluruh silat telah bersatu di bawah PESAKA Malaysia.[9]

Pada 11 Mac 1980, Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) telah ditubuhkan secara rasmi sebagai badan induk silat di peringkat antarabangsa[10] dan Jakarta, Indonesia menjadi ibu pejabat PERSILAT. Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura telah diiktiraf sebagai anggota pendiri PERSILAT. Badan induk kebangsaan untuk silat dikenali sebagai Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) di Indonesia, Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) di Malaysia, Persekutuan Silat Brunei (PERSIB) di Brunei dan Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) di Singapura.

Pencak Silat telah diiktiraf sebagai Seni Bela Diri Asli bangsa Indonesia. Manakala di Malaysia, Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf Silat sebagai Seni Bela Diri Rasmi Malaysia dan diwartakan di bawah Akta Warisan Negara semasa Konvensyen Silat yang dianjurkan pada 3 hingga 4 Disember 2006. Pada 18 September 2015, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan Seni Silat sebagai Seni Mempertahankan Diri Rasmi Negara semasa Himpunan Silat Pesaka Merdeka 2015 di Dataran Merdeka.[11]. Pada Disember 2019, UNESCO mengiktiraf Silat sebagai seni bela diri asal dari Semenanjung Tanah Melayu, khusus dari Kerajaan Langksuka.[12]

Pada 23 hingga 24 September 1979, ketika Sukan Asia Tenggara ke-14, IPSI telah memperkenalkan Olahraga Pencak Silat. Peraturan pertandingan ini telah disusun pada tahun 1973. Silat sekarang secara rasmi termasuk sebagai sebahagian daripada Sukan Asia Tenggara.