Etimologi Silat

Persembahan Randai dengan silek (silat) sebagai salah satu komponen tarian.

Suatu teori menyatakan bahawa perkataan silat sendiri berasal daripada perkataan silek daripada bahasa Minangkabau.[3] Silek ialah salah satu komponen untuk menyembahkan tarian rakyat randai Minangkabau bersampingan bakaba (pereka cerita) dan saluang jo dendang (lagu dan seruling).

Istilah silat sebenarnya suatu kata nama am yang digunakan untuk merujuk pada seni mempertahankan diri di Asia Tenggara.[4] Ia dikenali di Malaysia sebagai seni silat, seni bela-diri dan kadang-kala ilmu silat/pencak silat. Di Sumatra silat dikenali sebagai silek dan lebih popular di Jawa dan Indonesia sebagai Pencak Silat. Versi Cina bagi silat dikenali sebagai kuntao.[4]

Pada umumnya perkataan Silat atau Gayung biasa digunakan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, Silek dan Gayuang di Sumatra, Penca dan Maempok di Jawa Barat, Pencak di Jawa Timur dan Jawa Tengah, Mancak di Madura dan Bawean, Encak di Bali, Mpaa Sila di Dompu dan Nusa Tenggara Barat, Bermancek di Bulungan dan Kalimantan, memencak di Bugis dan Sulawesi, Akmencak, kuntau di Sulu dan Sulawesi[5], Basilat dan Kali di Mindanau.