Kubu Simanggang

Kubu James[4]

Setelah berakhirnya Perang Beting Marao tamat, Tuan Muda Charles Brooke pada masa itu telah mengarahkan sebuah kubu dibina di Skrang. Ia bertujuan untuk memusatkan pentadbiran Brooke di wilayah Skrang pada masa itu dan bagi memerhati pergerakan kaum Iban Skrang daripada bangkit memberontak ke atas pentadbiran mereka. Sekitar tahun 1849. sebuah kubu yang dinamakan Fort James atau Kubu James telah dibina. Nama kubu tersebut diambil sempena nama Rajah Pertama Sarawak iaitu Rajah James Brooke.

Antara peristiwa yang telah berlaku di Kubu James sepanjang operasinya ialah sebuah mesyuarat penting yang berlaku sekitar tahun 1863. Setelah memenangi Ekspedisi Kayan, Tuan Muda Charles Brooke telah mengadakan mesyuarat dengan kesemua pemimpin Iban Skrang yang membantunya di dalam ekspedisi tersebut seperti Orang Kaya Pemancha Nanang dan pengikutnya. Sebagai tanda penghargaan kepada Orang Kaya Pemancha Nanang, 400 buah tajau milik kepada pengikut Iban Skrang telah dipulangkan semula. Persetujuan untuk menerima beberapa peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Sarawak Kingdom juga telah dicapai. Antara peraturannya ialah:

  1. Kesemua urusniaga yang melibatkan timbangan hendaklah menggunakan chupak, gantang serta menggunakan timbangan dacing dan ukuran ela.
  2. Duda atau Janda yang kematian pasangan mereka dibolehkan untuk berkahwin semula 6 bulan selepas kematian pasangan masing-masing.
  3. Tempoh berkabung (adat Ulit) hanya dibenarkan selama 3 bulan sahaja.
  4. Penggunaan tanda ulit (tanda berkabung) yang diletakkan di rumah panjang yang kematian komunitinya tidak digunakan lagi.

Pada tahun 1864, Kubu James tidak dapat bertahan lama kerana dibina di atas tanah rendah dan berlaku hakisan tanah di Nanga Skrang. Kesemua bahan kayu yang digunakan sebagai struktur Kubu James telah diguna semula untuk pembinaan kubu baru yang lokasinya dipindahkan ke Simanggang. Kedudukan kubu baru di atas bukit di Simanggang menjadikannya strategik untuk urusan pentadbiran Brooke pada ketika itu. Pada asalnya, ianya hanya dikenali sebagai Kubu Simanggang, namun setelah kedatangan Ranee Sarawak pada tahun 1870, kubu ini dinamakan Fort Alice.


Kubu Alice

Kubu Alice.Kubu Alice sebelum dibaikpulih.Keadaan Kubu Alice yang terbiar sebelum dibaikpulih.

Kubu Alice telah dibina oleh Rajah Charles Brooke pada tahun 1864, setelah berjaya menewaskan Rentap dalm peperangan tahun 1861.[5] Fungsi utama kubu ini adalah sebagai pusat pentadbiran selain menjadi benteng pertahanan bagi mengawal keamanan di Sungai Batang Lupar. Kubu ini juga berperanan sebagai mahkamah rakyat dan mempunayi penjara di tingkat bawah sebagai pusat tahanan pesalah. Pembinaannya mengambil masa kira-kira 12 bulan dan dibina oleh orang-orang tempatan. Semua pembelanjaan dibiayai oleh Charles Brooke. Lokasinya terletak di atas bukit berhampiran tebing Sungai Batang Lupar.

Saiz bangunan ini ialah 67m panjang dan 60m lebar, berbentuk segi empat, mempunyai dua tingkat dan dicat berwarna putih. Bahan utama struktur kubu ini yang dibawa dari muara Sungai Batang Skrang adalah daripada kayu belian. Terdapat sebuah tanah lapang yang menghadap Sungai Batang Lupar di bahagian belakang bangunan. Di bahagian kiri dan kanan bangunan pula, terdapat menara yang tinggi manakala di sekeliling kubu, terdapat meriam-meriam besar bagi mempertahankan kubu. Pada mulanya, kubu ini tidak mempunyai nama sehinggalah pada tahun 1870, ketika isteri Rajah Charles Brooke, Ranee Margaret Alice berkunjung ke Simanggang kubu ini dinamakan sebagai Kubu Alice.

Antara sebab Kubu Alice didirikan di Simanggang adalah bagi mengawal pergerakan suku kaum tempatan yang mendiami persisiran Sungai Skrang dan Batang Ai. Sepanjang pemerintahan Brooke, banyak ekspedisi-ekspedisi telah dilancarkan daripada Kubu Alice. Antara ekspedisi yang telah dilancarkan adalah:[6]

  1. Ekspedisi Ulu Ai Pertama – Oktober 1875
  2. Ekspedisi Ulu Ai Kedua – Disember 1875
  3. Ekspedisi Kolera Deluk – Jun 1902
  4. Ekspedisi Menyebat dan Engkari – Oktober 1902
  5. Ekspedisi Ulu Ai Pau – November 1902
  6. Ekspedisi Menentang Delok – September 1908
  7. Ekspedisi Ke Delok dan Jengin – November 1915

Kemenangan berpihak kepada Rajah Brooke dalam kesemua ekspedisi-ekspedisi yang telah dilancarkan bagi memastikan kestabilan Negara Sarawak pada masa itu.

Pada 10 Februari 1971, Kubu Alice telah diistiharkan sebagai bangunan bersejarah.[7]Setelah berada dalam keadaan terbiar untuk tempoh yang lama, pada Mei 2013, kerajaan Negeri Sarawak melalui Jabatan Muzium Sarawak telah memulakan proses pembinaan semula Kubu Alice. Kos pembinaan semula Kubu Alice ini adalah sebanyak RM 5 juta. 72 tahun selepas menutup pintunya, pada 18 April 2015 Kubu Alice dibuka semula kepada umum sebagai pusat pengumpulan peradaban dan sejarah bahagian kedua Sri Aman. Kini, Kubu Alice dikenali sebagai Muzium Warisan Sri Aman.

Ringkasan sejarah perkembangan Kubu Alice.[8]

TahunPeristiwa
1864Kubu Alice mula dibina oleh Charles Brooke. Nama kubu Alice diambil sempena nama isterinya, Ranee Margaret Alice Brooke.
1865-1941Kubu Alice digunakan sebagai pusat pentadbiran, mahkamah rakyat, kubu pertahanan dan penjara.
1941-1945Serangan Jepun ke atas Sarawak menyebabkan Kubu Alice ditutup.
1945-2013Kubu Alice di biarkan tanpa sebarang pengurusan khusus dan semakin usang dimamah zaman.
2013Proses pembinaan semula di bawah seliaan Jabatan Muzium Sarawak dimulakan. Kos pembinaan semula menelan belanja sebanyak RM5 juta.
2015Kubu Alice di buka semula kepada umum sebagai Muzium Warisan Sri Aman.

Rujukan

WikiPedia: Simanggang http://espace.library.uq.edu.au/view/UQ:185349 http://sarawaktourism.com/attraction/sri-aman-town... http://kubualice.webs.com/sejarah-latar-belakang http://www.wongfookyee.com/HTML/Shirley/Events/200... http://carolusoutdoorlife.blogspot.my/2016/03/moun... http://hadiftareh.blogspot.my/2012/07/sri-aman.htm... http://www.sriamandc.sarawak.gov.my/ http://kggua.pi1m.my/index.php/warga-pi1m/sosio-ek... http://www.sarawakiana.net/2014/04/sektor-pertania... https://www.facebook.com/BorneoOracle/photos/a.449...