Kelakuan Singa

Jantan dewasa meregangkan badan.

Singa meluangkan banyak masa untuk berehat iaitu selama kira-kira 20 jam sehari.[84] Biarpun boleh aktif pada bila-bila waktu, aktiviti singa lazimnya memuncak selepas waktu senja dengan waktu bergaul, membersihkan bulu dan berkumuh. Ini disusuli oleh kenaikan aktiviti sekejap-sekejap sepanjang malam hingga subuh, pada ketika aktiviti memburu sering dijalankan. Singa menghabiskan purata dua jam sehari dengan berjalan dan 50 minit dengan makan.[85]

Pergaulan sosial

Seekor betina (kiri) dan dua ekor jantan

Singa adalah ahli yang paling giat bergaul daripada rumpun felid (kucing) yang rata-rata hidup sendirian. Terdapat dua jenis kelakuan sosial. Yang pertama ialah residen, iaitu singa yang hidup dalam kalangan singa-singa betina bersaudara, pasangan mengawan masing-masing dan anak-anaknya. Jenis kawanan ini dalam bahasa Inggeris dipanggil pride.[86] Singa-singa betina membentuk unit sosial yang stabil dalam kawanan dan tidak senang menerima betina dari luar.[87] Keahlian hanya berubah dengan kelahiran dan kematian betina,[88] namun ada juga betina yang berhijrah keluar.[89]

Sungguhpun ada diperhatikan kawanan besar sebanyak 30 ekor, namun pride pada puratanya terdiri daripada kira-kira 15 ekor singa; termasuk beberapa ekor betina, sebanyak empat jantan (disebut coalition kalau lebih daripada seekor) dan anak-anak dari kedua-dua jantina.[90] Yang terkecuali dari pola ini hanya singa Tsavo yang sentiasa hanya seekor jantan.[91] Anak jantan dikeluarkan dari kawanan kelahiran setelah matang pada umur kira-kira dua hingga tiga tahun.[89] Jantan ahli kawanan sering tinggal di pinggiran wilayah untuk berjaga-jaga.

Kelakuan sosial kedua dipanggil nomad yang lebih luas taburannya, sama ada secara bersendirian ataupun berpasangan.[86] Singa jantan bersaudara yang keluar dari kawanan kelahiran lebih kerap diperhatikan berpasangan. Ingat bahawa singa boleh bertukar gaya hidup; nomad boleh jadi residen dan begitu juga yang sebaliknya.[92] Interaksi antara singa kawanan dan nomad selalunya dingin, namun betina kawanan dalam estrus boleh mengizinkan jantan menghampiri mereka.[93]

Singa memanjat pokok di Ishasha, Taman Negara Queen Elizabeth, Uganda

Jantan dan betina sekali boleh mempertahankan kawanan daripada ancaman luar, tetapi jantan lebih sesuai kerana susuk badan yang lebih tegap.[94] Sesetengah individu memimpin untuk menentang ancaman sementara yang lain mengekori.[95] Setiap singa mendapat peranan tentu dalam kawanan. Yang mengekori boleh memberikan khidmat yang berharga kepada kawanan.[96]

Juga dihipotesiskan bahawa ada ganjarannya bagi ketua yang mengusir ancaman luar, dan itu secara tidak langsung mempengaruhi pangkat-pangkat betina dalam kawanan.[97] Jantan ahli kawanan mesti mempertahankan hubungannya dengan kawanan daripada jantan luar yang cuba menegangkan hubungannya dengan kawanan.

Memburu dan pemakanan

Gigi singa bersiung lumrah mamalia karnivorSinga betina memecut ketika memburu

Singa merupakan makhluk hiperkarnivor[98] yang tidak terlalau cerewet memilih mangsa dan memburu secara berkelompok. Mangsanya rata-rata terdiri daripada mamalia, khususnya ungulat, terutama sekali wildebeest, kuda belang, kerbau, dan zirafah di Afrika[99] dan chital, rusa sambar, nilgai, babi hutan, dan sebagainya di India.[100] Singa Afrika mengutamakan mangsa seberat 190–550 kg (420–1,210 lb)[99] sementara mengelak dari gajah, badak sumbu dan badak air dewasa, dan juga haiwan yang terlalu kecil seperti arnab.[101] Sungguhpun demikian, gazel Thomson[102] dan warthog sering diburu kalau ada biarpun di bawah takat berat ideal tersebut.[99]

Di kebanyakan kawasan, tiga perempat pemakanan singa terdiri daripada sejumlah spesies yang terhad. Di Taman Negara Serengeti, majori mangsa ialah wildebeest, kuda belang dan gazel.[103] Di Taman Negara Kruger, zirafahlah mangsa yang paling umum,[104] sementara di Taman Manyara, kerbau Tanjung membentuk 62% daripada pemakanan singa[105] kerana kepadatan tinggi kerbau.

Di Delta Okavango dengan perubahan mangsa bermusim yang ketara, tiga perempat pemakanan singa boleh terdiri daripada lapan spesies.[103] Sekali-sekala badak air dewasa dimakan di Taman Negara Gorongosa sementara anak haiwan pula kerap diburu di Taman Negara Virunga. Selain daripada saiznya, badak air sukar dijadikan mangsa kerana gemar berendam dalam air.[98]

Singa di Savuti, Botswana telah menyesuaikan diri untuk memburu gajah muda ketika musim kemarau, malah dilaporkan bahawa kawanan 30 ekor singa membunuh individu gajah antara 4 dan 11 tahun.[106] Singa juga menyerang ternakan domestik, terutama sekali singa di India.[107][100] Antara mangsa yang ganjil ialah landak dan reptilia kecil. Singa juga membunuh pemangsa lain seperti cheetah, harimau bintang dan dubuk, tetapi jarang makan.[108]

Singa muda mula-mula mempamerkan lagak menghendap sekitar umur tiga bulan, tetapi tidak menyertai aktiviti memburu sehingga mencecah umur sekurang-kurangnya setahun. Singa mula memburu dengan berkesan pada umur dua tahun.[109] Singa tunggal mampu menjatuhkan mangsa yang jadi dua kali berat sendiri seperti kuda belang dan wildebeest, sementara memburu zirafah dan kerbau sendiri teralalu tinggi risikonya. Singa memburu secara berkelompok biasanya lebih berjaya.[110][102]

Dalam kawanan, kebanyakan pemburuan dilakukan oleh singa betina.[110] Biasanya ketika memburu, setiap betina mengambil kedudukan yang selesa untuknya, sama ada menghendap mangsa yang bergerak lalu menyerang, ataupun berjalan kurang jauh di tengah kumpulan lalu melompat keluar dari kelompok dan menangkap. Jantan ahli kawanan tidak selalu menyertai pemburuan beramai-ramai.[111] Akan tetapi, adanya bukti bahawa singa kawanan sama berjaya dengan betina, sebagai pemburu solo yang menyerang hendap mangsa dalam semak-samun.[112]

Singa tidaklah istimewa dari segi stamina – contohnya, jantung singa betina hanya mencakupi 0.57% daripada berat badannya (jantan pula 0.45%), sementara jantung dubuk hampir 1% berat badannya.[113] Oleh itu, singa hanya berlari laju dalam pecutan singkat,[114] dan oleh itu perlu dekat dengan mangsa sebelum memulakan serangan. Singa mendapat kelebihan dalam keadaan yang mengurangkan keterlihatan; kebanyakan bahaman berlaku dalam tempat terlindung atau pada waktu malam gelap.[115]

Empat ekor betina membaham kerbau tanjung.

Serangannya singkat tetapi penuh kuasa; singa cuba menangkap mangsa dengan luruan cepat diikuti lompatan akhir. Mangsa biasanya dibunuh dengan mencekik,[116] yang boleh memutuskan aliran darah atau oksigen ke dalam otak; ataupun singa menyumbatkan mulut dan hidung mangsa dengan rahang sehingga mangsa lemas.[117] Mangsa selalunya dimakan di lokasi pemburuan, tetapi ada kalanya mangsa besar diseret ke dalam lindungan.[118][119] Singa sering bergaduh merebut-rebut bunuhan, khususnya jantan.

pabila kekurangan makanan, anak singa paling menderita. Apabila cukup makanan, semua ahli kawanan dapat makan sehingga kenyang, termasuk singa tua dan kurang upaya yang cukup makan dengan sisa tinggalan.[110] Bunuhan makin besar makin dikongsi.[120] Betina dewasa memerlukan purata kira-kira 5 kg (11 lb) daging sehari, dan jantan pula kira-kira 7 kg (15 lb).[121] Seekor singa dapat melahap sekali makan sebanyak 30 kg (66 lb) hingga kenyang;[122] jika ia tidak habis makan semua bunuhan ia akan berehat selama satu jam sebelum sambung makan. Pada hari panas, kawanan boleh berteduh dengan seekor dua jantan berjaga-jaga.[118] Singa akan menjaga bunuhan daripada dari pebangkai seperti burung hering dan dubuk.[110]

Singa lebih gemar mencari bangkai apabila ada kesempatan,[123] apalagi 50% daripada pemakanan terdiri daripada bangkai.[124] Singa mencari haiwan yang mati sama ada secara semula jadi atau dibunuh oleh pemangsa lain, serta berjaga-jaga untuk burung hering yang terbang berpusing-pusing sebagai tanda adanya haiwan yang mati atau dalam bahaya.[123] Sebenarnya, bangkai yang dimakan oleh dubuk dan singa rata-ratanya lebih dibunuh oleh dubuk daripada singa.[117]

Pembiakan dan kitaran hidup

Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Singa
Mengawan

Kebanyakan singa betina membiak sebaik sahaja berumur empat tahun.[125] Singa tidak mengawan pada musim tertentu, malah betinanya poliestrus (mengovum lebih sekali setahun).[126] Seperti mana zakar kucing lain, zakar singa jantan mempunyai duri yang pacak ke belakang. Ketika menarik keluar zakar, duri mencakar dinding faraj betina yang mungkin menyebabkan pengovuman.[127] Singa betina boleh mengawan dengan lebih daripada seekor jantan setiap kali naik berahi.[128]

Tempoh kebuntingan purara kira-kira 110 hari,[126] kemudian betina melahirkan satu hingga empat ekor anak seperinduk di dalam jerumun yang terlindung (seperti belukar, mensiang, gua dsb.) jauh dari kawanan. Betina lazimnya memburu sendiri sedangkan anak masih lemah, dan kekal dekat dengan jerumun anak.[129] Anak singa dilahirkan buta – matanya tidak celik sehingga kira-kira seminggu selepas lahir. Anak beratnya 1.2–2.1 kg (2.6–4.6 lb), mula merangkak sehari dua selepas lahir dan berjalan kira-kira umur tiga minggu.[130] Betina memindahkan anak ke jerumun baru beberapa kali sebulan, menggonggong satu demi satu di tengkuk leher, untuk mengelakkan bau berkumpul di satu jerumun sehingga menarik perhatian pemangsa.[129]

Ibu singa biasanya tidak kembali ke dalam kawanan bersama anak-anak sehingga anak-anak berumur enam hingga lapan minggu.[129] Kadang-kadang kemasukan kawanan lebih awal, apalagi jika singa betina lain melahirkan anak pada masa yang sama. Contohnya, betina-betina sekawan lazimnya segerak kitaran pembiakan, malah ramai-ramai membesarkan dan menyusukan anak (setelah anak melepasi peringkat awal keterasingan bersama ibu) yang menyusu secara rambang daripada semua betina yang bersusu dalam kawanan. Keserentakan kelahiran juga mempunyai kelebihan yang mana anak-anak lebih kurang sama saiz, dan oleh itu peluang kemandirian sama rata kerana tiada anak besar yang mendominasi anak kecil.[131][132]

Apabila diperkenalkan ke dalam kawanan, anak singa mula-mula tidak yakin apabila berdepan dengan singa betina selain ibu. Kemudian mereka mula mendalami kehidupan dalam kawanan dengan bermain sesama sendiri atau cuba bermain dengan dewasa.[132] Betina yang beranak sendiri lebih mungkin menerima anak betina lain daripada betina tanpa anak. Penerimaan jantan terhadap anak pula berbagai-bagai – ada yang sabar membiarkan anak bermain dengan ekor atau surainya, dan ada yang menggeram sambil memukul anak pergi.[133]

Singa betina dengan anak. Rata-rata ibu yang membesarkan anak

Bercerai susu selepas enam ke tujuh bulan. Singa jantan mencapai kematangan pada kira-kira 3 tahun, dan pada umur 4–5 tahun, ia mampu mencabar dan menggulingkan jantan dewasa yang dikaitkan dengan kawanan lain. Singa jantan mula menua dan melemah dalam umur 10 dan 15 tahun paling lewat.[134] Lagipun, apabila singa jantan mengusir singa jantan sedia ada, penakluk sering menghapuskan sebarang anak muda yang ada, mungkin kerana betina tidak subur sehingga anak matang atau mati. Singa betina akan berusaha membela anaknya daripada jantan penceroboh, tetapi jarang berjaya. Barangkali berjaya apabila tiga ke empat ekor ibu sekawan bergabung menentang seekor jantan.[135] Punca-punca kematian anak yang lain termasuk kebuluran atau ditinggalkan serta dimakan harimau bintang, dubuk dan anjing liar.[136][131] Keseluruhannya, sebanyak 80% anak mati sebelum dua tahun.[137]

Tidak seperti yang disangka ramai, bukan hanya jantan yang diusir dari kawanan untuk menjadi nomad, namun kebanyakan betina tentu kekal dengan kawanan kelahiran. Akan tetapi apabila kawanan menjadi terlalu besar, generasi betina seterusnya mungkin terpaksa keluar untuk membuka wilayah sendiri. Lagipun, apabila jantan baru mengambil alih kawanan, singa remaja jantan mahupun betina mungkin diusir.[138]

Singa jantan mahupun betina boleh bergaul secara homoseksual. Singa didapati terlibat dalam kegiatan bercinta-cinta homoseksual berkumpulan. Singa jantan juga bergeser-geseran kepala sambil bergolek-golek sebelum membuat-buat setubuh.[139][140]

Kesihatan

Singa yang sakit tenat tuberkulosis bovin

Biarpun singa dewasa tiada pemangsa semula jadi, bukti menunjukkan bahawa kebanyakan singa mati akibat keganasan manusia atau singa lain.[141] Singa sering menyebabkan kecederaan parah pada satu sama lain, sama ada ahli-ahli berlainan kawanan yang saling bertembung dalam pertikaian wilayah, ataupun ahli-ahli sama kawanan merebut-rebut mangsa.[142] Singa dan anak singa lumpuh mungkin menjadi mangsa dubuk, harimau bintang, ataupun dipijak-pijak oleh kerbau atau gajah, malah singa cuai mungkin menjadi cacat teruk ketika memburu.

Singa berlindung dari lalat dengan menghinggapi pokok.

Pelbagai spesies sengkenit sering menjangkiti kawasan telinga, leher dan groin singa.[143][144] Sesetengah spesies cacing pita genus Taenia dewasa telah diasingkan daripada usus, yang mana singa termakan larvanya daripada daging antelop.[145] Singa di Kawah Ngorongoro terjejas oleh wabak lalat kandang (Stomoxys calcitrans) pada 1962; menyebabkan singa bertompok-tompok darah dan kurus-kering. Singa cuba melarikan diri daripada gigitan lalat dengan memanjat pokok atau menyusupi lubang dubu; banyak yang mati atau berpindah apabila jumlah susut dari 70 ke 15 individu.[146] Wabak terbaru pada 2001 meragut nyawa enam ekor.[147] Singa, terutamanya yang dikurung, terdedah kepada virus distemper kanin (CDV), virus imunodefisiensi kucing (FIV), dan peritonitis berjangkit felin (FIP).[148] CDV tersebar melalui anjing bela jinak dan karnivora lain; sebuah wabak 1994 di Taman Negara Serengeti menyebabkan banyak singa tumbuh gejala neurologi seperti sawan. Ketika wabak ini, beberapa ekor singa mati akibat pneumonia dan ensefalitis.[149] FIV yang serupa dengan HIV biarpun tidak diketahui menjejaskan singa, tetapi cukup membimbangkan pada kesannya terhadap kucing bela jinak hinggakan Species Survival Plan mengesyorkan ujian sistematik pada singa kurungan. Ia berlaku dengan kekerapan tinggi hingga endemik di beberapa populasi singa liar, tetapi rata-rata tiada pada singa Asia dan Namibia.[148]

Komunikasi

Menggesel kepala dan menjilat adalah kelakuan sosial yang umum dalam sesebuah kawanan

Pergaulan singa ketika berehat berlaku melalui beberapa kelakuan, dan gerak-geri ekspresifnya berkembang maju. Gestur sentuhan damai yang umum sekali adalah saling bergesel kepala dan saling menjilat,[150] yang serupa dengan primat membersihkan bulu.[151] Bergesel kepala – menggesel-geselkan dahi, muka dan leher pada singa lain – nampaknya satu bentuk tegur sapa,[152] kerana ia sering kelihatan selepas seekor singa berjauhan daripada yang lain, atau selepas perkelahian. Jantan sering menggesel jantan lain, sementara anak dan betina menggesel betina lain.[153] Saling menjilat sering berlaku serentak dengan saling menggesel; yang dijilat tampak merasai kesenangan. Kepala dan leher adalah anggota badan yang paling kerap dijilat yang mungkin timbul daripada keperluan kerana singa tidak boleh menjilat anggota tersebut sendiri.[154]

Ngauman singa

Singa mengaum dalam kurungan

Masalah mendengarkan ? Sila lihat bantuan media.

Singa mempunyai pelbagai ekspresi wajah dan postur badan sebagai isyarat.[155] Antara ekspresi wajah yang umum ialah membuat muka seringai apabila singa menghidu isyarat kimia dan membuka mulut dengan menayangkan gigi, mengangkat mancung, berkedut hidung, tutup mata dan lentur telinga.[156] Singa juga membuat kesan kimia dan tampak; jantan menyemburi dan mengorek tanah dan objek di dalam wilayahnya.[155]

Singa banyak sekali vokalisasinya; yang menjadi titik tengah komunikasi bukanlah isyarat diskret tetapi variasi pada keamatan dan nada suara. Kebanyakan vokal singa berbentuk menggeram/menderam, mengiau dan mengaum. Juga terdapat bunyi dengkur, merungut dan dengung.[157] Singa sering mengaum secara tipikal sekali, bermula dengan sedikit ngauman garau yang beransur-ansur menjadi ngauman pendek-pendek.[158][159] Singa paling kerap mengaum pada waktu malam; bunyinya yang mampu kedengaran dari sejauh 8 kilometer (5.0 mi), digunakan untuk mengumumkan kehadiran singa.[157] Singalah yang paling lantang ngauman mana-mana kucing besar.

Rujukan

WikiPedia: Singa http://www.adelaide.edu.au/acad/publications/paper... http://archive.gg.ca/heraldry/pub-reg/project-pic.... http://abc.museucienciesjournals.cat/files/ABC_38-... http://www.bartleby.com/61/46/S0424600.html http://www.beringia.com/research/lion.html http://books.google.com/books?id=t2EZCScFXloC&pg=P... http://www.google.com/books?id=JgAMbNSt8ikC&pg=PA5... http://www.indialivetoday.com/gir-forest-asiatic-l... http://timesofindia.indiatimes.com/city/ahmedabad/... http://news.nationalgeographic.com/2016/04/160418-...