Bahaya Suar_suria

Suar suria membawa pengaruh kuat kepada cuaca angkasa setempat di Bumi. Ia menghasilkan arus-arus zarah yang sangat bertenaga dalam angin suria dan magnetosfera Bumi yang boleh membawa bahaya radiasi kepada kapal angkasa dan angkasawan.Fluks sinar X lembut dari suar kelas X meningkatkan pengionan atmosfera atas, dan boleh mengganggu perhubungan radio gelombang pendek serta menghebatkan geseran pada satelit berorbit rendah sehingga menyebabkan penyusutan orbit. Zarah-zarah bertenaga dalam magnetosfera menyumbang kepada fenomena aurora borealis dan aurora australis.

Suar suria mengeluarkan selata zarah bertenaga tinggi yang dikenali sebagai ribut proton. Proton tenaga boleh melalui badan mansusia lalu menyebabkan kerosakan biokimia,[4] maka menjadi bahaya kepada angkasawan yang melakukan perjalanan antara planet. Kebanyakan ribut proton mengambil dua jam atau lebih dari masa dikesan secara visual untuk mencapai orbit Bumi. Suar suria pada 20 Januari 2005 melepaskan tumpuan proton tertinggi yang pernah disukat secara langsung,[5] iaitu hanya mengambil 15 minit selepas dikesan untuk mencapai Bumi, menunjukkan halaju kira-kira satu pertiga kelajuan cahaya.

Risiko radiasi yang dihadapkan oleh semarak suria dan lentingan jisim korona adalah antara isu-isu utama dalam perbincangan mengenai misi manusia ke Marikh, bulan, atau mana-mana cakerawala yang lain. Angkasawan pasti memerlukan sejenis perlindungan secara fizikal atau magnet. Mula-mulanya. pernah difikirkan bahawa angkasawan mesti berteduh dalam masa dua jam, tetapi berdasarkan peristiwa 20 Januari 2005, mereka hanya diberi masa kira-kira 15 minit. Tenaga dalam bentuk sinar X keras dianggap membahayakan kapal angkasa, dan pada amnya adalah kesan pelentingan plasma besar di kromosfera atas.