Keusahawanan Sudirman_Haji_Arshad

Sudirman bersama minuman tin SUDI Tiga perisa minuman tin SUDI iaitu Kola, Oren & Lemonade

Sudirman pernah menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dengan modal kira-kira RM3 juta, yang mengeluarkan minuman tin berkarbonat jenama ‘‘Sudi’’. Kejayaannya dalam memasarkan ‘‘Sudi’’ telah mengangkat Sudirman sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda. Minuman ‘‘Sudi’’ yang terkenal telah mengambil 5 peratus pasaran minuman karbonat dalam masa 6 bulan beroperasi (dengan bantuan majalah bisnes dan program TV dari Australia ke Hong Kong mengiklankan minuman Sudi). [19]

Pada 9 Mac 1991, Sudirman telah mengadakan konsert di tapak Expo Air Keroh, Melaka. Konsert percuma anjuran SUDI Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Melaka itu, bagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai atas sambutan mereka terhadap minuman jenama ‘‘Sudi’’.

Atas inisiatifnya juga, beliau telah membuka ‘‘Sudi Shoppe’’ di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur dengan menjual beraneka barangan yang berkaitan dengan penampilan bintang popular dan ‘merchadising’ keluaran dirinya, termasuk cermin mata hitam yang fleksibel.

Syarikatnya merancang untuk mengeluarkan ‘‘Sudi Rasa’’ - iaitu makanan dalam tin seperti sardin, santan kelapa, buah-buahan, koktel dan mee segera. Dilaporkan ada juga rancangan untuk minyak masak, sos tomato dan sos cili istimewa. Beliau dikatakan memiliki restoran yang dinamakan Restoran Selera Sudi terletak berhampiran pejabat urusannya, Sudirman Productions di Taman Sri Hartamas.

Tahun 1983, Sudirman menubuhkan syarikatnya ‘‘Sudirman Productions’’ dengan hanya seorang pekerja. Tahun 1987, Sudirman menghasilkan sebuah album berjudul Sahabat untuk anak saudara kesayangannya Atai (Razman Azrai Zainudin) di bawah Sudirman Productions. Beliau bersama pengurusnya, Mike Bernie Chin bercita-cita menerbitkan video yang merakam aksinya ketika konsert. Walau bagaimanapun pada Mac 1987, Mike Bernie mengundurkan diri daripada menjadi pengurus Sudirman setelah ia merasa Sudirman tidak dapat 'diurus' lagi. Kemudian Sudirman melantik Dharanee Dharan Kannan sebagai pengurusnya sehingga Jun 1991 apabila Dharanee meletakkan jawatan. Sejak itu Sudirman mahu mengurus sendiri semua kegiatan hiburannya.

Sekitar Mei-Jun pada tahun yang sama juga, Sudirman telah berusaha keras mencari rakan seperjuangannya- penyanyi bersuara manja dan unik, Uji Rashid untuk menerbitkan album baru buat Uji di bawah label Sudir Records. Beliau berpendapat suara Uji Rashid akan tiada duanya dan sukar ditiru mana-mana penyanyi pun. Apakan daya, Uji Rashid sebenarnya berada di luar Kuala Lumpur untuk jangkamasa yang agak lama pada waktu itu atas komitmen sebuah drama swasta yang dijayakan beliau.[20][21]

Malangnya setelah Sudirman jatuh sakit tidak lama kemudian, perniagaannya - Sudirman Productions dan SUDI Sdn. Bhd. telah ditutup pada September 1991.