Legasi Sudirman_Haji_Arshad

Nama Sudirman Haji Arshad terus bersemadi di dalam hati peminatnya. Beliau masih bergelar ‘‘Penghibur Nombor 1 Asia’’ yang sukar dicari ganti.

Setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Raya Aidilfitri, kita akan teringatkannya. Menjelang Hari Raya Aidilfitri, rakyat Malaysia turut sama menyanyi apabila mendengar lagu nyanyian Sudirman, ‘‘Balik Kampung’’, ‘‘Selamat Hari Raya’’ dan ‘‘Dari Jauh Ku Pohon Maaf’’ berkumandang di radio dan TV. Tatkala sambutan Hari Kemerdekaan, lagu patriotik seperti ‘‘31 Ogos’’ dan ‘‘Warisan’’ masih dimainkan.

Seperti ibunya, Sudirman diabadikan di ‘‘Muzium Tokoh Pahang’’, di Kuantan sebagai mengenang jasanya dalam bidang seni kepada bangsa dan negara. Tempat ini mempamerkan barang-barang berharga seperti trofi Anugerah Penghibur Terbaik Asia milik Sudirman.[22]

Pada tahun 1992, sebuah buku biografi yang bertajuk ‘‘Detik Terakhir Sudirman’’ telah ditulis oleh En. Ghafar Nin dan Cik Amira Muhamad. Buku ini juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri daripada Sudirman untuk dijadikan kenangan khusus buat peminatnya.

Pada 23 Mei 2002, EMI Malaysia, Arkib Negara dan Istana Budaya telah bekerjasama dalam menjayakan Majlis Pengkisahan dan Pameran Sudirman di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman selama sebulan sempena 10 tahun pemergian Sudirman. Objektif pameran dan pengkisahan buat julung kalinya itu juga adalah untuk mengumpul dan mendokumentasikan maklumat berkaitan Allahyarham Sudirman melalui penceritaan dari keluarga, sahabat serta koleksi barangan peribadi beliau.

Jasa Sudirman turut dikenang menerusi majlis Anugerah Kecapi 2006 anjuran Papita yang menganugerahkannya secara rasmi dengan gelaran ‘‘Penghibur Nasional’’.

Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza Untukmu Sudir

Poster yang dikeluarkan oleh Istana Budaya

Pada tahun 2002, Siti Nurhaliza yang juga anak jati Kuala Lipis, Pahang telah mengadakan konsert ‘‘Untukmu Sudir’’ sebagai mengenang jasa buat Sudirman sebagai ‘‘Seniman Rakyat’’. Konsert ini juga bertempat di Istana Budaya dan dihoskan oleh Jaafar Onn, Habsah Hassan dan Yusni Jaafar. Beliau telah menyanyikan lagu-lagu Sudirman yang cukup sinonim apabila didengari seperti “Dir”, “Chow Kit Road! Chow Kit Road!”, “Big Spender In The Cabaret”, “Balik Kampung” dan “Salam Terakhir”.[23]

Selain itu, pihak produksi juga ada menyiarkan beberapa klip video mengenai Sudirman, antaranya adalah temuramah daripada orang yang terdekat, kaum keluarga, penggubah lagu, komposer dan rakan-rakan. Antara yang hadir untuk menyaksikan konsert ini adalah kaum keluarga Allahyarham Sudirman sendiri.[24] Menariknya, anak saudara Sudirman iaitu Atai telah memberikan kerjasama untuk menjayakan konsert ini dengan mendendangkan beberapa rangkap lagu oleh Sudirman.

Pada suatu ketika, Siti muncul di pentas dengan rangkaian baju yang sinonim dengan Sudirman, iaitu baju yang bercorakkan Jalur Gemilang. Baju ini dibuat semula dan direka oleh pereka fesyen kegemaran Sudirman iaitu Din Wahab. Siti juga turut menjemput para penonton untuk bersama dengan beliau di atas pentas bagi lagu yang bertajuk “Hujan”. Prop di atas pentas juga telah dibuat dengan begitu lancar dan tersusun. Pada akhir konsert, penonton telah menyaksikan tayangan klip video oleh Sudirman yang akhirnya menyebabkan Siti dan penonton yang lain terharu serta menitiskan air mata. Konsert yang berjalan selama dua hari ini telah mendapat kritikan balas yang positif serta berjaya mendapat anugerah “Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu” melalui lagu “Merisik Khabar”.

Trek Selebriti: Sudirman Dalam Memori

Pada tahun 2006, Astro Ria menerusi ‘‘Trek Selebriti’’ telah menyiarkan satu episod khas bagi memperingati sejarah hidup dan pembabitan Sudirman dalam bidang seni serta turut menampilkan secara eksklusif persembahan terakhir beliau yang belum pernah disiarkan di mana-mana stesen televisyen.

Penyiaran Slot ‘‘Sepanjang Jalan Kenangan... Penghibur Legenda’’

Sepanjang Mac 2007, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menyiarkan semula program-program nyanyian yang pernah dihoskan oleh Allahyarham Sudirman bagi mengimbau kembali perjuangan seni beliau. Ia bertujuan sebagai pembuka tirai kepada ‘‘Konsert Suara Hati Sudirman’’ yang telah diadakan pada 1hb April 2007.

  • Puspawarna 1984 (4 Mac 2007) - konsep "Sudirman dari sebuah bilik"
  • Mekar Sejambak Sudirman dan Atai 1985 (11 Mac 2007) - konsep muzikal mengenai sebuah kelab malam amatur yang diuruskan oleh Sudirman.
  • Istimewa Bersama Sudirman 1987 (18 Mac 2007) - Sudirman turut mendendangkan rangkaian lagu-lagu yang berbahasa Cina, Tamil, juga menyanyi sambil melukis bendera Malaysia.
  • Istimewa Bersama Sudirman 1988 (25 Mac 2007) - konsert bulanan secara langsung yang dikendalikan oleh penyanyi popular dan berbakat sahaja.

Konsert Suara Hati Sudirman

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengadakan “Konsert Suara Hati Sudirman” sebagai penghargaan kepada Sudirman. Konsert ini adalah bersempena dengan ulang tahun RTM yang ke-61 serta sambutan kemerdekaan yang ke-50. Konsert ini juga diterbitkan oleh Ain Sabrina serta membariskan pelbagai artis 18 artis popular tempatan pada masa kini. Pihak pengajur telah memilih Stadium Malawati, Shah Alam sebagai tempat untuk mengadakan konsert tersebut pada 1 April 2007, jam 8.30 malam. Selain itu, pentas untuk persembahan juga turut dihiasi dengan mood pencahayaan ketika ‘era Sudirman’. Selain itu, konsert ini juga tidak menggunakan hos tetapi dengan suara latar yang berpandukan skrip yang ringkas dan padat hasil tulisan Habsah Hassan.

Lagu pembukaan bagi konsert ini adalah “Dir”, nyanyian oleh Mawi dengan iringan Orkestra RTM. Antara arits lain yang turut menjayakan konsert ini ialah Ramli Sarip, Siti Nurhaliza, Misha Omar, Ning Baizura, Jaclyn Victor, Farawahida, Liza Hanim, Izwan Pilus, Nita, Dayang Nurfaizah, Faizal AF dan Bob

Antara lagu popular yang turut dinyanyikan ialah “Salam Terakhir” dan “Tanggal 31”, nyanyian Siti Nurhaliza. Di samping itu, Ramli Sarip telah menyanyikan lagu “Milik Siapakah Gadis Ini”. Seterusnya, Misha Omar telah mendendangkan lagu “Terasing” dan Liza Hanim dengan lagu yang bertajuk “Hujan”. Lagu “Apa Khabar Orang Kampung”, “Hidup Sederhana (Basikal Tua)”, “Aku Penghiburmu”, “Joget Kenangan Manis”, “Chow Kit Road! Chow Kit Road!”, “Kul It!”, “Jauh Di Sudut Hati”, “One Thousand Million Smiles”, “Merisik Khabar” dan “Di Dalam Sepi Itu” turut dinyanyikan oleh artis yang hadir.[25]

Bergelar Dato'

Pada 18 Jun 2009, beliau secara rasminya bergelar Dato' Sudirman Haji Arshad secara anumerta setelah pemergiannya selama 17 tahun. Kakaknya, Datin Rodziah Arshad menerima pengiktirafan itu sebagai mewakili beliau daripada Sultan Pahang (Sultan Ahmad Shah) di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.[26]

Biografi “Sudirman Arshad” di Saluran History

Pada tahun 2011, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bersama AETN All Asia Networks telah menerbitkan dokumentari di saluran History yang bertajuk “Sudirman Arshad”. Dokumentari yang berbentuk biografi ini telah disiarkan pada 20 Februari 2011 (Ahad), jam 10.00 malam. Selain itu, dokumentari ini juga menyiarkan beberapa klip gambar serta video yang menceritakan pengalaman pahit dan getir sepanjang perjalanan beliau di dalam bidang seni. Di samping itu, penonton akan menyaksikan sesi temuramah bersama beberapa teman rapat beliau serta memahami dengan lebih mendalam mengenai kisah beliau.[27] Dokumentari Sudirman juga diulang siar di RTM pada 22 Februari 2015.[28][29][30]

Konsert Sudirman... Abadi Di Hati

Pada 24 Februari 2012, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah sekali lagi mengadakan konsert bagi memperingati beliau dengan iringan 40 pemuzik daripada Orkestra RTM. Konsert ini juga mengetengahkan lagu-lagu Sudirman yang jarang didengar oleh umum iaitu “Hilang Berganti”, “Hujan”, “Kehadiranku” dan “Jali Jali”. Konsert ini juga menyenaraikan penyanyi seperti Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah, Bob, Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan Rey (Bintang RTM).[31]