Kerjaya Sudirman_Haji_Arshad

Menyertai World ABU Song Contest Singapore 1985

Sudirman semasa menyanyikan lagu Pesta Dunia

Beliau pernah menyertai World ABU Song Contest yang diadakan di Singapura pada tahun 1985. Beliau mewakili Malaysia dan hanya berjaya mendapat tempat ke-5 daripada 14 peserta yang bertanding. Para peserta terdiri daripada 14 buah negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Indonesia, Korea, Australia, Sweden, Fiji dan beberapa negara yang lain. Beliau juga diiringi oleh komposer, Manan Ngah. Beliau membawakan lagu ‘‘Pesta Dunia’’, sebuah lagu ciptaan Manan Ngah manakala liriknya pula ditulis oleh Habsah Hassan. Perkara ini juga membawa kepada tercetusnya idea Habsah Hassan untuk menghasilkan lirik lagu ‘‘Salam Terakhir’’ apabila Sudirman meluahkan rasa hatinya dengan menyatakan bahawa dia tidak mungkin hidup lama.[8]

Bergelar Duta Nyanyian

Pada tahun 1986, Pelancongan Malaysia telah melantiknya sebagai "Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia". Semasa Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) yang ke-35 di Kuala Lumpur, beliau mempopularkan lagu "Cintai Malaysia, Kenali Malaysia" (To Know Malaysia Is To Love Malaysia) ciptaan Carol Connors dari Amerika Syarikat. Lagu ini juga menjadi lagu tema semasa kempen Tahun Melawat Malaysia.

Beliau juga dilantik sebagai duta bagi pelbagai syarikat terkenal seperti Proton, Malaysia Airlines, Honda Cup dan "honored pioneer card member" dengan Hong Leong Bank.

Konsert di Jalan Chow Kit

Chow Kit dipenuhi kira-kira 100 ribu orang yang mahu menyaksikan persembahan Sudirman pada tahun 1986

Pada 15 April 1986,[9] Sudirman menempa nama di dalam Malaysian Book of Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya memikat serta memukau hampir 100 ribu warga kota untuk berpusu-pusu membanjiri jalan itu. Lagu yang dinyanyikan oleh beliau ialah ‘‘Chow Kit Road! Chow Kit Road!’’ dan diakhiri dengan lagu patriotik sambil memakai bendera Malaysia.

Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah tempat untuk golongan marhaen. Jalan Chow Kit menjadi simbol untuk orang-orang kebanyakan yang juga peminat beliau. Maka, konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel atau dewan untuk suatu konsert. Perkara ini juga telah memberitahu kita bahawa beliau bukan seorang yang materialistik.

Penghibur Nombor 1 Asia

Sidang media oleh Sudirman

Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai "Penghibur Nombor 1 Asia" pada "Asian Popular Music Awards". Acara anugerah ini diadakan bersama-sama dengan Saleem Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London. Beliau merupakan penyanyi yang pertama dari Malaysia yang pernah memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh Ledesma), Singapura (Anita Sarawak), China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand. Dalam pertandingan tersebut, beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris "One Thousand Million Smiles" dan "Send In The Clown" dengan menggayakan aksi lucu ala-ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan serta membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil dari negara lain yang lebih hebat popularitinya.

Lagu "One Thousand Million Smiles" dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah. Proses rakaman lagu itu dibuat di Studio Abbey Road, tempat rakaman album bagi penyanyi berpengaruh seperti The Beatles. Lagu ini dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Persembahan

Sudirman merupakan seorang artis yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Beliau lincah dengan showmanship di pentas, sesuatu yang kurang kelihatan pada zamannya, dan memiliki pelbagai koleksi pakaian beraneka fesyen yang digunakan sewaktu persembahan. Sudirman pernah muncul dalam acara penutup Sukan SEA 1989 yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur dengan penampilannya berbeza, beliau mengenakan baju bendera sambil mengibarkan Jalur Gemilang (ketika itu Bendera Malaysia) yang besar.

Semasa Pertandingan Juara Lagu TV3 1987, Sudirman memenangi Anugerah Persembahan Terbaik kerana persembahannya begitu menyayat hati sewaktu mendendangkan lagu "Merisik Khabar" dengan petikan pemetik api simbolik beliau.

Malah beliau merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan fasih pelbagai bahasa (bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi) serta mengubah lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.

Sudirman & The Girls

Sepanjang persembahannya, Sudirman diiringi band pengiringnya (The Glue), kumpulan penari (The Girls) dan penyanyi latar (The Giggles). Biarpun sibuk dan sudah dikenali, beliau masih meluangkan masa untuk belajar vokal dari penyanyi klasik terkenal bernama Florence Fong.

Sudirman juga seorang yang bijak bekerja. Dia bekerjasama dengan produser, suka berkongsi idea dengan penerbit untuk menghasilkan yang terbaik. Beliau memiliki kreativiti yang amat besar. Dengar saja penghayatan lagu yang dinyanyikannya. Beliau juga amat unik dengan penjiwaan di atas pentas. Bukan saja kerana nyanyian beliau, tapi tingkah lakunya yang sungguh terbuka, bekerja keras, menghormati seni dan rakan-rakannya dikagumi menjadikannya seorang insan istimewa.

Kejayaan Sudirman sebagai penghibur itu juga tidak dapat lari dengan lagu-lagu popular gubahan komposer terkenal seperti Datuk Ahmad Nawab, Ooi Eow Jin, S. Atan, Manan Ngah, Osman Ghani, Kassim Masdor dan M. Nasir, selain lirik puitis oleh Habsah Hassan menerusi luahan rasa sebenar penyanyinya. Habsah Hasan turut menulis skrip untuk Sudirman semasa membuat persembahan rancangan RTM dan majlis makan malam.

Beliau juga aktif di dalam Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) dan dilantik menjadi Timbalan Presiden PAPITA untuk satu penggal. Semasa hayatnya, Sudirman sangat mengutamakan pemilikan hak cipta. Dia mempertahankan nama dan haknya bagi memastikan tidak ada pihak ketiga mengambil kesempatan.

Beliau mempunyai ramai kenalan rapat, diantaranya dari kalangan wartawan (Bahyah Mahmood, Intan Zabidin, Saodah Ismail, Ku Seman Ku Hussain, Fauziah Samad, Adam Salleh, Tajaiyah Ihsan, Fatimah Hassan, Mokhtar Alias, Mama Juwie, Huzz, Muzlina, Zubairi Zabidin) dan kalangan artis (Noor Kumalasari, Sharifah Aini, Anita Sarawak, Yusni Jaafar, Sarimah, Zaiton Sameon, Ramli MS).