Kehidupan Suetonius

Suetonius ialah anak lelaki Suetonius Laetus yang mungkin berasal dari Hippo Regius (Annaba, Algeria). Laetus adalah seorang penunggang kuda yang berkhidmat sebagai kolonel dan bertempur dalam Perang Bedriacum yang pertama untuk Maharaja Otho terhadap bakal Maharaja Vitellius pada tahun 69.

Suetonius ialah kawan yang rapat kepada Pliny si Lebih Muda, seorang senator dan ahli sejarah. Pliny memerihalkan Suetonius sebagai seorang pendiam yang rajin belajar dan berdedikasi kepada penulisan. Beliau membantu Suetonius membeli sebuah harta tanah yang kecil di Itali dan berunding dengan Maharaja Trajan untuk memberikan kekebalan kepadanya, walaupun Suetonius tidak pernah berkahwin atau mempunyai anak. (Kekebalan hanya dikhaskan kepada seorang lelaki yang mempunyai sekurang-kurang tiga anak (jus trium liberorum)). Melalui Pliny, Suetonius memenangi hati Trajan dan Hadrian.

Suetonius berkhidmat sebagai kakitangan Pliny ketika Pliny menjadi Prokonsul Bithynia Pontus (Asia Minor utara) antara tahun 110 dan 112. Di bawah Trajan, beliau berkhidmat sebagai setiausaha kajian (tugas-tugas yang tepat tidak dapat dipastikan) serta pengarah perpustakaan-perpustakaan empayar. Di bawah Hadrian, Suetonius menjadi setiausaha Maharaja.

Pada tahun 122, Hadrian memecat Suetonius disebabkan sikap tidak hormat terhadap Permaisuri Vibia Sabina. Suetonius kemudian mungkin memenangi semula hati Hadrian dan kembali ke jawatannya. Hipotesis ini berdasarkan fakta bahawa "Jawatan Negara" (Office of State) merupakan salah satu karya terakhirnya, dan perkara itu telah dipilih untuk membayangkan pembaharuan-pembaharuan pentadbiran Hadrian. Bagaimanapun, tidak terdapat bukti kerjaya perkhidmatan awam Suetonius yang dapat dipastikan selepas 122.