Pemerintahan Sultan_Ahmad_Tajuddin_(Brunei)

Sepanjang tahun 1920an dan 1930an

Pada tahun 1927, baginda telah merasmikan pembukaan jalan Brunei - Tutong. Pada tahun 1929, baginda merasmikan pembukaan Hospital Besar Brunei dan pada tahun yang sama minyak mula ditemui di Seria.

Pada tahun 1932, setahun selepas Majlis Pemangku Raja menyerahkan kembali kuasa pemerintahan kepada Sultan Ahmad Tajuddin, baginda berangkat melawat England dan Eropah.

Sepanjang pemerintahan baginda, wujud pelbagai persatuan-persatuan bersifat kebangsaan mahupun antarabangsa, seperti Persekutuan Pengakap Brunei, Persatuan Palang Merah Brunei (sekarang dikenali sebagai Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei), Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei, Kesatuan Melayu Brunei dan sebagainya.

Pendudukan Jepun di Brunei (1941 - 1945)

Pada 16 Disember 1941, Jepun menduduki Brunei. Kuasa mentadbir Brunei telah diserahkan kepada Gabenor Jepun bagi wilayah Miri-shu (yang merangkumi Sarawak, Brunei dan Sabah). Baginda masih kekal menjadi sultan, namun kuasa baginda hanya terhad kepada hal ehwal Adat Istiadat Brunei dan Agama Islam. Walau bagaimanapun, pihak Jepun telah menganugerahkan beberapa bintang-bintang kebesaran Jepun sebagai tanda persahabatan dan menjunjung kasih kepada baginda kerana berbaik-baik dengan mereka.

Pada tahun 1945, Tentera Bersekutu mendarat di Brunei, dan Brunei ditadbir sementara oleh British Military Administration (Pentadbiran Askar British). Pada 6 Julai 1946, kuasa memerintah dan mentadbir kerajaan diserahkan kembali kepada baginda.

Lagu Kebangsaan Brunei (1946)

Pada tahun 1946, Lagu Kebangsaan Brunei yang dipanggil 'Allah Peliharakan Sultan' mula digubah oleh Awang Besar Sagap, sementara senikatanya dicipta oleh Yura Halim.

Sultan Ahmad Tajuddin bergambar ramai dengan pegawai-pegawai tentera Jepun

Barisan Pemuda (1946)

Pada 12 April 1946, satu pertubuhan yang dinamakan Barisan Pemuda (BARIP) telah ditubuhkan, yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, terutama guru-guru Melayu yang menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak. Selain itu, persatuan ini turut diikuti oleh ahli-ahli dari Kesatuan Melayu Brunei (KMB) dan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB).

Sultan Ahmad Tajuddin berkenan menaikkan bendera BARIP dalam Sambutan Ulang Tahun BARIP yang pertama, 1947

Pada 12 April 1947, BARIP telah menyambut ulang tahunnya yang pertama, dan baginda berkenan menghadiri sambutan ulang tahun tersebut. Baginda turut berkenan menaikkan bendera BARIP. Turut hadir ketika itu pembesar-pembesar dan tetamu-tetamu dari dalam dan luar negara.

Namun pada tahun 1948, persatuan ini tidak lagi aktif. Ini disebabkan sebilangan besar ahlinya menyambung pelajaran mereka ke Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Sambutan Jubli Perak (1949)

Sultan Ahmad Tajuddin ketika menyambut Sambutan Jubli Perak Menaiki Takhta, 1949

Pada tahun 1949, baginda menyambut sambutan Jubli Perak dan bersempena dengan sambutan tersebut, Kerajaan British mengurniakan baginda dengan pingat Knight Commander of the Most Excellent Order of the British Empire (KBE).