Pendidikan Tengku_Muhammad_Fa-iz_Petra_ibni_Almarhum_Sultan_Ismail_Petra

Baginda memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (1), Kota Bharu, Kelantan. Kemudian, baginda berangkat ke London untuk menyambung pelajaran peringkat menengah dan memilih Oakham School Rutland, England sebagai destinasi pengajiannya. Selepas berjaya mendapat 10 GCSE'S dan 3 A-Level, baginda menyambung pengajian di Sekolah Ekonomi London. Baginda telah lulus dengan meraih Ijazah Sarjana Muda Sejarah. Semasa di London, Baginda sempat mendaftar di Universiti Firence untuk mempelajari Bahasa dan Sastera Itali pada peringkat asas dan pertengahan.

Sebagai seorang yang cintakan ilmu pengetahuan, peluang yang diberi untuk mendalami ilmu tidak disia-siakan baginda. Setelah memperolehi ijazah pertama dalam bidang sejarah, baginda terus berada di London bagi melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Baginda telah memilih Kolej Universiti London bagi menyambung pelajaran peringkat Sarjana dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Sejarah Purba. Di universiti dan dalam bidang yang sama juga, baginda telah berjaya pula memperoleh ijazah lanjutan MPHIL.

Tidak cukup dengan Ijazah Sarjana, baginda menyambung pelajaran peringkat kedoktoran falsafah pula dalam bidang yang sama. Masa lapang baginda diisi dengan membaca dan melukis. Dalam bidang sukan, baginda sangat berminat dalam permainan bola sepak.

Berkaitan