Sejarah Tentera_Udara_Venezuela

Kelahiran FAV bermula pada 10 Disember, 1920 apabila Sekolah Penerbangan Tentera Venezuela ditubuhkan. Antara pesawat-pesawat terawal yang dimiliki termasuk Farman, Caudron G-3 dan juga pesawat amfibia Caudron G-4. Dekad pertama penubuhan FAV banyak dipengaruhi oleh Perancis, Jerman dan Itali. Selepas Perang Dunia II, tentera udara telah disusun kembali dengan bantuan Amerika Syarikat, yang mana menjadi permulaan pada penubuhan rasmi Fuerza Aérea Venezolana, pada 22 Jun, 1946.

Kebanyakan pangkalan tentera udara pada hari ini telah dibina pada tahun 1960-an. Di antara pesawat pejuang utama pada masa itu adalah Venom, Vampire, dan F-86. Manakala skuadron pesawat pengebom pula menggunakan pesawat B-25 Mitchell. Tahun-tahun 1970-an dan 1980-an telah menyaksikan peningkatan pada tahap kekuatan FAV, peningkatan harga minyak telah membolehkan FAV untuk melengkap kembali unit-unitnya. Pegangan kombinasi pelbagai jenis pesawat dikekalkan dan pesawat-pesawat seperti Mirage IIIE/V, VF-5A/D, T-2D, OV-10A/E dan T-27 telah diperoleh. Venezuela merupakan di antara pelanggan eksport pertama bagi pesawat F-16 Fighting Falcon yang mana tiba pada tahun 1983 bagi melengkapkan skuadron yang baru ditubuhkan iaitu Grupo Aéreo de Caza 16 yang berpangkalan di Pangkalan Udara El Libertador. [1][2]

Pada 2006, pesawat-pesawat F-16, F-5 dan Mirage milik Tentera Udara Venezuela telah terlibat dalam latihan bersama Cruzex III yang telah diadakan di Brazil bersama-sama tentera udara Argentina, Brazil, Chile, Perancis, Peru dan Uruguay. [3]