Sejarah Termodinamik

Sadi Carnot (1796-1832): "Bapa" termodinamik
Rencana utama: Sejarah termodinamik

Sejarah ringkas termodinamik bermula dengan Otto von Guericke, ahli sains Jerman, yang mereka bentuk pam vakum serta vakum yang pertama di dunia pada tahun 1650. Vakumnya dikenali sebagai "hemisfera Magdeburg". Beliau didorong mencipta vakum itu untuk membuktikan bahawa anggapan Aristotle yang sudah lama diterima, iaitu 'Alam semula jadi benci akan vakum', adalah salah.

Tidak lama kemudian, Robert Boyle, ahli fizik dan kimia Ireland, berkerja sama dengan Robert Hooke, ahli sains Inggeris, untuk membina sebuah pam udara pada tahun 1956 setelah mendapat tahu tentang reka bentuk Guericke. Melalui pam ini, Boyle dan Hooke mencerap korelasi tekanan-suhu-isi padu, dan kemudian merumuskan hukum gas unggul. Berdasarkan konsep-konsep itu, Denis Papin, sekutu Boyle, membina sebuah pencerna tulang (bahasa Inggeris: bone digester) pada tahun 1679. Mesinnya terdiri daripada sebuah bekas tertutup, dengan tudung ketat yang menahan wap sehingga tekanan yang tinggi dijanakan.

Reka-reka bentuk yang kemudian menggunakan injap pelepas stim untuk mengelakkan peletupan mesin. Melalui pencerapan injap yang bergerak naik turun mengikut irama, Papin memikirkan idea untuk sebuah enjin omboh. Bagaimanapun, beliau gagal melaksanakannya sehingga selesai. Berdasarkan reka bentuk Papin, jurutera Thomas Savery membina enjin yang pertama pada tahun 1697. Walaupun enjin-enjin yang awal adalah kasar dan tidak cekap, rekaan-rekaan itu menarik perhatian ahli-ahli sains yang terutama pada masa itu. Salah satunya ialah Sadi Carnot, "bapa termodinamik", yang pada tahun 1824 menerbitkan "Pemikiran-pemikiran Mengenai Kuasa Gerakan Api", sebuah huraian mengenai haba, kuasa, dan kecekapan enjin. Perkembangan ini menandakan permulaan termodinamik sebagai sebuah sains moden.