Sejarah Terusan_Kra

Cadangan untuk terusan yang membelah Segenting Kra, bagi memendekkan laluan perkapalan di Asia telah diutarakan semenjak tahun 1677, bila Raja Ayuthia, Narai meminta seorang jurutera Perancis bernama De Lamar untuk membuat kajian bagi pembinaan satu terusan yang menghubungkan Songkhla dan Marid (Myanmar sekarang). Kajian mendapati cadangan ini tidak praktikal dengan kemudahan teknologi yang ada ketika itu. Pada tahun 1793, idea ini kembali diutarakan oleh adik bongsu Raja Chakri (Rama I) untuk memudahkan kapal-kapal perang melindungi pantai barat Siam. Pada awal kurun ke–18, pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris juga menunjukkan minat kepada pembinaan terusan ini. Selepas Burma menjadi jajahan British pada tahun 1863 dengan Victoria Point yang bertentangan dengan muara Kra menjadi titik paling selatannya, satu peninjauan telah dilakukan tetapi dengan hasil negatif. Pada tahun 1882, pembina Terusan Suez, Ferdinand de Lesseps telah melawat kawasan ini tetapi dilarang untuk menyelidik lebih dalam atas arahan Raja Siam. Pada tahun 1897, kerajaan Siam dan Empayar British telah bersetuju untuk tidak membina terusan ini agar kepentingan Pelabuhan Singapura di rantau ini dilindungi.