Sejarah Totalitarianisme

Giovanni Gentile, ahli falsafah Itali yang terkenal dengan teori fasismenya telah mula menggunakan istilah totalitario yang merujuk kepada struktur dan matlamat sebuah negara yang baru. Negara baru ini akan mewakili negara bangsa secara total dan memberi bimbingan menyeluruh ke arah matlamat nasional.[1]. Beliau menggambarkan totalitarianisme sebagai sebuah masyarakat di mana ideologi negara mempunyai pengaruh, jika bukan kuasa, ke atas rakyatnya.

Perkataan ini kerap digunakan oleh Benito Mussolini bagi rejimnya di Itali. Menurutnya, sistem ini mempolitikkan segala yang spititual dan kemanusiaan[2]. Sewaktu Perang Dunia II, Hannah Arendt seorang ahli falsafah telah mempopularkan konsep ini untuk menunjukkan persamaan di antara Nazisme dan Stalinisme sebagai teori-teori sivik. Kebanyakan rejim-rejim fasis dan komunis telah dianggap sebagai totalitarian walaupun sebahagian besar daripadanya seperti rejim Franco di Sepanyol, dan Mussolini di Itali sebelum Perang Dunia II, dan juga rejim komunis seperti di Yugoslavia di bawah pimpinan Tito dan China di bawah Deng Xiaoping, adalah lebih bersifat autoritarian berbanding totalitarian.

Namun, terdapat beberapa kerajaan yang lalu yang boleh dianggap sebagai totalitarian. Kerajaan Joseph Stalin di Kesatuan Soviet dan kerajaan Jerman di bawah pimpinan Adolf Hitler adalah beberapa contoh kerajaan yang totalitarian. Kedua-dua kerajaan ini telah bertahan lama dan rakyatnya seolah-olah terperangkap dengan ideologi kerajaannya masing-masing. Khmer Rouge di bawah kerajaan Pol Pot yang zalim menunjukkan betapa bahayanya sistem ini kepada masyarakat di mana lebih kurang dua juta rakyat Kemboja telah dijadikan mangsa penindasan rejim tersebut.