Ulam
Ulam

Ulam

Ulam boleh ditakrifkan sebagai bahagian tumbuh-tumbuhan yang terdiri dari pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi dan buga yang dimakan mentah, dicelur, distim atau direbus sebelum makan.[1] Selalunya bagi menambah rasa kepada ulaman yang dimakan, ia dicecah dengan sambal belacan, budu, cencaluk, mayonis, atau cecahan-cecahan lain. Biasanya disertakan sekali dengan nasi dan lauk-pauk yang lain. Ulam terkenal sebagai hidangan harian utama di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung dan kini mulai terdapat di kawasan bandar-bandar juga. Disebabkan banyaknya khasiat ulam ini, terdapat inisiatif untuk membukukan maklumat ulam dalam satu buku yang lengkap.[2]Bagi seorang yang sihat tubuh badannya, maka pengambilan ulam tidak memberi masalah kepadanya kerana ia boleh mengambil apa jua ulam yang dia sukai memandangkan tubuhnya sihat dapat menerima apa jua kesan dan khasiat ulam yang diambil dengan kadar yang sesuai. Ini berlainan pula bagi mereka yang berpenyakit kerana pemakanan ulam perlu diperhatikan agar tidak memakan ulam yang boleh mendatangkan kesan buruk padanya. Contohnya, seorang pesakit tekanan darah rendah tidak digalakkan makan banyak ulam sambung nyawa memandangkan ulam ini boleh memberi kesan merendahkan lagi tekanan darah. Walaupun begitu, eloklah orang yang berpenyakit mengambil hanya ulam yang memberi kesan positif padanya.