Pengenalan Veda

Perkataan 'Veda', berasal daripada perkataan Sanskrit, 'vid' ( bermaksud 'untuk mengetahui') dan ia merujuk kepada seluruh himpunan ilmu esoterik dan rohani mengenai nilai-nilai kerohanian abadi yang ditemui oleh golongan Rishi (orang-orang alim dan mistik) semasa meditasi.[1] Tradisi Hindu memberikan Veda kedudukan tertinggi dalam kalangan semua sumber ilmu dan kitab-kitab suci lain. Oleh itu, Veda dianggap sebagai sumber utama dan asas Hinduisme. Semua kitab-kitab lain mendapat inspirasi dan otoritinya daripada Veda. Dalam kata lain, Veda adalah kitab suci agama Hindu yang tertua.[2]

Veda adalah Apauruseya (bukan buatan manusia). Menurut Swami Vivekananda: "Himpunan penulisan ini yang dipanggil sebagai Veda bukanlah kata-kata manusia. Tarikh-tarikhnya tidak pernah ditetapkan, tidak boleh ditetapkan, dan, mengikut kami, Veda adalah abadi'.[3]

Veda juga dinamakan sebagai 'Sruti' yang bermaksud 'sesuatu yang didengar'.[4] Ini kerana, Veda diturunkan daripada generasi ke generasi secara lisan. Masyarakat Hindu purba, menggunakan kaedah lisan untuk pengajaran. Oleh itu, sebenarnya Veda bukan setakat sebuah kitab suci, tetapi himpunan ayat-ayat suci.

Veda atau Sruti juga dianggap sebagai 'ilmu mengenai Tuhan'.[5] Dalam Hinduisme, ilmu mengenai Tuhan adalah tidak terbatas dan abadi. Maka, Veda sebagai ilmu mengenai Tuhan adalah abadi, tidak batasan, dan ia sentiasa wujud di alam semesta ini.[6] Sebahagian ilmu abadi ini ditemui oleh para Rishi semasa meditasi dan hanya sebahagian kecil sahaja telah direkodkan dalam kitab-kitab suci.

Dengan peredaran masa, ayat-ayat suci ini dikumpul dan disusun kepada empat bahagian yang dikenali sebagai Rig, Sama, Yajur, dan Atharva Veda. Proses penyusunan semula ayat-ayat suci Veda ini dilakukan oleh Krishna Dwaipayana (juga dikenali sebagai Veda Vyasa).

Seperti yang dikatakan oleh Swami Vivekananda, ianya amat sukar untuk menentukan tarikh-tarikh Veda. Tarikh-tarikh yang diberikan oleh pelbagai ilmuwan adalah amat jauh berbeza, daripada 25,000 S.M hingga 1000 S.M. Namun, suatu pendapat umum yang diterima ramai ialah bahawa tamadun Harappan-Mohenjo Daro (c. 4000 S.M.) merupakan suatu tamadun selepas zaman Veda. Dengan ini, boleh disimpulkan bahawa, Veda yang tertua, iaitu Rig Veda, telah wujud sekitar 10,000 S.M.[7]