Keluarga Wan_Mohamed_bin_Wan_Teh

Wan Mohamed bin Wan Teh dilahirkan pada tahun 1929 di Kampung Ulu Kenderong, Gerik, Perak. Ibunya bernama Hajah Kalsom manakala bapanya Haji Wan Teh merupakan seorang penghulu yang terkenal di Kampung Kerunai, 12 km di ulu Grik. Penghulu Haji Wan Teh mempunyai dua orang isteri.

Adiknya Prof Dr Wan Hashim Wan Teh lulusan Universiti Monash dan Universiti Mancester merupakan bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi , pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan menjadi ahli parlimen Grik (2004-2008). Wan Zahidi Wan Teh lulusan Universiti Al Azhar, Cairo , bekas Rektor Kolej Islam Darul Ridhuan dan Mufti Wilayah Persekutuan. Wan Hassan Wan Teh lulusan Universiti Malaya dan menjadi Timbalan Ketua Pengarah Imigresen. Manakala Wan Abd Hamid Wan Teh menjadi Ketua Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam, DBP.

Wan Mohamad mendapat pendidikan formal di Sekolah Melayu, Grik. Beliau telah berjaya meningkat setapak demi setapak dalam pelajaran di Sekolah Melayu hingga darjah enam. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Kerjaya beliau bermula sebagai kerani di Jabatan Keretapi, Keretapi Tanah Melayu , Ipoh dan pada masa tersebut beliau berumur 20 tahun. Setelah lebih tiga tahun berkhidmat di Jabatan Keretapi, satu tawaran yang lebih baik diterimanya iaitu Pegawai Luar di Jabatan Penerangan di Kuala Lumpur dan kemudian pindah ke Ipoh.