Keistimewaan Yang_di-Pertuan_Besar_Negeri_Sembilan

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipilih dan dilantik daripada kebulatan muafakat di antara Undang Yang Empat dengan Tunku Besar Tampin. Yang di-Pertuan Besar berperanan sebagai ketua agama Islam dengan dinasihati oleh Majlis Hal Ehwal Agama Islam. Baginda juga bertanggungjawab dalam adat istiadat negeri dan dinasihati oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan. Yang di-Pertuan Besar bersemayam di Seri Menanti yang terletak di dalam Luak Ulu Muar. Baginda tidak campur tangan dalam hal ehwal luak-luak yang lain[1].

Berdasarkan sejarah, sebelum kemasukan British, Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh Penghulu Luak Ulu Muar. Apabila British campur tangan di Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar dilantik oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Johol. Pemilihan Yang di-Pertuan Besar berdasarkan kepada latar belakang keturunan, kebaikan tingkah laku dan calon mestilah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Yang di-Pertuan Besar yang mangkat mengikut sebelah bapa, iaitu daripada kalangan putera raja berketurunan Raja Lenggang ibni Raja Laut, iaitu Yamtuan Seri Menanti yang ketiga.

Sistem beraja yang unik itu mencetuskan ilham kepada kewujudan jawatan Yang di-Pertuan Agong bagi peringkat Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Persekutuan Malaysia, di mana Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada sembilan Raja Melayu ditubuhkan untuk memilih Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan secara automatik akan mengangotai Majlis Raja-Raja dan menjadi sebahagian daripada sistem beraja di Malaysia.