Penerbitan Zombitopia

Zombitopia diarahkan oleh Woo Ming Jin yang sebelum ini mengarahkan beberapa filem termasuk KL Zombi (2013), sekaligus menjadi filem zombi kedua arahannya.[4][5] Menurut Ming Jin dalam satu sidang media maya yang diadakan, berbeza dengan KL Zombi arahannya, Zombitopia ialah sebuah filem serius yang mengangkat isu kemanusiaan sejagat.[1][6] Katanya:

"Diakui saya adalah penggemar filem zombi seperti I Am Legend, The Walking Dead dan Train to Busan. Inti pati filem itu mengetengahkan watak individu yang kehilangan insan tersayang dan kemandirian mereka dalam menghadapi serangan mayat hidup. Bagi saya, filem zombi bukan sekadar zombi menyerang orang tetapi lebih kepada soal kemanusiaan seperti yang dipaparkan dalam semua filem zombi itu. Filem sebegitu memberikan inspirasi kepada saya untuk menghasilkan Zombitopia,"

Untuk filem ini, Ming Jin menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) dan kesan khas visual bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Beliau turut mendapatkan khidmat hampir 20 penari latar bagi menjayakan watak zombi di mana mereka dikehendaki memakai kanta lekap jika berdepan dengan risiko penglihatan kurang jelas.[1][7] Kos pembikinan dianggarkan berjumlah hampir RM3 juta dengan penggambaran dijalankan pada 2016 di Selangor dan Kuala Lumpur. Zombitopia menandakan kolaborasi kedua Shaheizy Sam bersama Ming Jin selepas Mamak Cupcake.[2] Sam dalam satu sidang media maya, yang turut dihadiri oleh Ming Jin dan pelakon filem itu, mengatakan filem ini boleh dikaitkan dengan situasi pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia, malah mengibaratkan zombi seperti virus.[8][9][10] Bagi memantapkan persediaan sebelum penggambaran, Sam menjalani latihan kecergasan bagi mengelakkan keletihan semasa menjayakan adegan dikejar zombi.[11][12]

Elvina Mohamad yang terkenal dengan drama lakonannya seperti Mariam Alisa, Shhh... I Love You dan Kalis Kasih, memegang watak sebagai Zooey.[13] Elvina mengakui sewaktu berlakon dalam filem ini, beliau berasa gementar dan tidak mempunyai pengalaman kerana beliau baru sahaja berkecimpung dalam bidang lakonan. Sebagai pendatang baharu dalam bidang lakonan pada masa itu, Elvina turut mengakui watak Zooey benar-benar menguji kebolehannya; Untuk watak itu, beliau perlu menukar emosi untuk disesuaikan dengan zombi.[14][15]

Rujukan

WikiPedia: Zombitopia http://www.imdb.com/title/tt11619482/ http://www.rekomenfilem.com/2021/07/zombitopia-gag... http://www.cinema.com.my/articles/features_details... http://www.cinema.com.my/articles/features_details... http://www.cinema.com.my/articles/features_details... https://www.thepatriots.asia/kenapa-zombitopia-ial... https://www.budiey.com/zombitopia/ https://gempak.com/berita-terkini/takut-zombi-shah... https://www.hotstar.com/my/movies/zombitopia/12600... https://kitareporters.com/gaya/MvbmZmVGdY