Kerjaya A._Samad_Said

Mulanya sebagai kerani di Hospital Umum Singapura selama enam bulan. Bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat di bawah pimpinan Ahmad Boestamam di Kuala Lumpur. Beliau kembali ke Singapura dan bekerja dengan akhbar mingguan Utusan Zaman di bawah Usman Awang. Apabila Syarikat Utusan Melayu berpindah, Usman Awang, Said Zahari, dan beliau turut berhijrah. Wartawan Abdul Samad Ismail dari Berita Harian berhijrah pula ke The New Straits Times. Semasa A. Samad Ismail ditahan ISA, Samad Said menjadi penolong khas kepada Pengarang Kumpulan The New Straits Times dan sebagai Pengarang Berita Harian sehingga 8 Mac 1978. Pada 1981, menjadi Ketua Pengarang akhbar Warta Teberau. Kemudian Samad Said menjadi Ketua Pengembangan Sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times.

A.Samad Said menggunakan pelbagai nama pena seperti Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir. Puisinya yang pertama diberinya judul “Untuk Angkatan 50” yang tersiar dalam Utusan Zaman (1950). Samad menjadi ahli ASAS 50, badan penulis yang bergerak dengan slogan, “Seni untuk Masyarakat “.Beliau berjaya menghubungkan sasterawan-sasterawan 50-an yang mementingkan tema dan mesej dengan sasterawan yang lebih cenderung menekankan nilai dalam kesusasteraan.Beliau membesar di Singapura. Oleh itu, dia tidak pernah secara aktif terlibat dalam perjuangan politik atau ideologi yang menentang penjajah.

Novel pertama berjudul Gerhana ditukar judul kepada Salina. Profesor A. Teeuw dan sesetengah sarjana mengangkat novel ini sebagai bertaraf antarabangsa. Namun novel ini hanya memenangi hadiah penghargaan dalam Peraduan Penulisan Novel 1958 anjuran DBP .Ketika itu Samad berusia 23 tahun. Salina menceritakan kehidupan daif masyarakat Melayu di Kampung Kambing, Singapura selepas Perang Dunia Kedua. Penduduk bergelut dengan kemiskinan, keruntuhan moral di kota dan kebobrokan.Tema sebegini sama sekali asing dalam kesusasteraan Melayu. Novel Salina telah diadaptasi menjadi teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan dipentaskan sempena Pesta Kesenian (1986), dan kemudiannya di Singapura.

Novelnya Sungai Mengalir Lesu menggambarkan masyarakat Singapura yang menderita akibat perang. Masyarakat Melayu dan orang Indonesia yang hidup melarat dan menjadi buruh di Singapura ketika diperintah tentera Jepun (1942-1946).

Antologi puisi 'Liar di Api' jelas bereksperimen dengan sajak-sajak bebas. Antologi lain ialah Benih Harapan (1973), Daun Semalu Pucuk Paku (1975) dan Benih Semalu (1984).

Samad menulis latar belakang pengalamannya semasa menulis Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Langit Petang dalam Dari Salina ke Langit Petang. Buku bercorak autobiografi ini merupakan rakaman pengalaman Samad, pahit maung dan peristiwa berkaitan yang diterapkan dalam novel-novelnya.