Malaysia Adikung

Adikung di Malaysia dilantik oleh Kerajaan Pusat ataupun oleh Kerajaan Negeri dari kalangan pegawai-pegawai dari Polis Diraja Malaysia ataupun dari kalangan pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia terdiri dari Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia ataupun dari Tentera Laut Diraja Malaysia. Terdapat juga pegawai-pegawai bukan daripada kalangan pegawai tentera ataupun polis yang dilantik menjadi adikung.

Raja dan Ketua Negeri

Adikung ditugaskan untuk mengiringi dan membantu DYMM Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-gabenor negeri-negeri Sarawak, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang.

Adikung kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Gabenor biasanya terdiri daripada pegawai kanan Tentera berpangkat Leftenan Kolonel ataupun Kolonel (Kepten untuk TLDM). Adikung daripada pasukan Polis Diraja Malaysia pula berpangkat Asisten Komisioner.

Tentera dan Polis

Pegawai-pegawai kanan tentera dan Polis biasanya mempunyai adikung terdiri daripada pegawai-pegawai muda dari perkhidmatan yang sama. Adikung ini adalah sebagai tambahan kepada batman yang biasanya menjaga keperluan peribadi pegawai kanan berkenaan. Tugas adikung lebih berat kepada tugas sebagai Setiausaha ataupun pegawai sulit kepada pegawai kanan berkenaan.