Biografi Alfred_Bernhard_Nobel

Nobel ialah anak lelaki ketiga kepada Immanuel Nobel (1801-1872) dan Andriette Ahlsell Nobel (1805-1889). Beliau lahir di bandar Stockholm pada 21 Oktober 1833. Beliau berpindah ke kota Saint Petersburg bersama keluarganya pada tahun 1842, di mana bapanya (iaitu pencipta papan lapis moden) membuka kilang periuk api laut. Alfred mengkaji bidang kimia bersama Profesor Nikolay Nikolaevich Zinin. Pada tahun 1859, kilang bapanya diturunkan kepada anak kedua, Ludvig Nobel (1831-1888), yang seterusnya meluaskan perniagaan itu. Setelah perniagaan itu muflis, Alfred kembali ke Sweden bersama bapanya, dan menghabiskan masanya mengkaji bahan letupan, khususnya mencari pengilangan dan kegunaan nitrogliserin secara selamat (yang ditemui pada tahun 1847 oleh Ascanio Sobrero, salah seorang rakan sekelasnya di Théophile-Jules Pelouze di Universiti Torino). Di kilang milik keluarga Nobel di Heleneborg berlakunya beberapa insiden letupan; salah satunya meragut nyawa adik lelaki Alfred iaitu Emil bersama beberapa orang buruh pada tahun 1864.

Asas-asas Hadiah Nobel disediakan pada tahun 1895 ketika Alfred Nobel mengarang wasiat terakhirnya, yang memperuntukkan kebanyakan hartanya kepada penubuhan Hadiah-hadiah tersebut. Semenjak tahun 1901, anugerah ini telah memberi penghargaan kepada ramai tokoh atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang fizik, kimia, perubatan, kesusasteraan, dan usaha damai.

Meskipun Nobel tidak pernah berkahwin sekalipun, namun pengarang-pengarang biografinya pernah menyebut beliau pernah bercinta dengan sekurang-kurangnya tiga orang wanita. Cinta pertama Nobel berputik di Rusia dengan gadis bernama Alexandra yang menolak lamarannya. Pada tahun 1876, Bertha Kinsky menjadi setiausaha Alfred Nobel tetapi dia cepat meninggalkan untuk mengahwini seorang kenalan lama bernama Baron Arthur Gundaccar von Suttner. Begitupun singkat hubungannya dengan Alfred Nobel, mereka tetap saling surat-menyurat sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1896, lebih-lebih lagi dipercayai bahawa dialah yang banyak mempengaruhi beliau menyertakan hadiah keamanan di kalangan hadiah-hadiah ini dalam wasiatnya. Bertha von Suttner dikurniakan Hadiah Keamanan Nobel 1905 'kerana usaha-usaha damainya yang tulus ikhlas'.

Cinta ketiga Nobel pula lebih berpanjangan dengan seorang gadis bunga bernama Sofie Hess dari Vienna. Hubungan ini bertahan selama 18 tahun dan dalam kebanyakan surat yang saling dihantar mereka, Nobel memanggil temannya 'Madame Sofie Nobel'. Selepas kematian beliau, menurut penulis biografinya lagi - Evlanoff dan Flour, dan Fant - surat-surat Nobel dikunci dalam bangunan Institut Nobel di Stockholm dan dijadikan rahsia yang disimpan paling lama ketika itu. Pada tahun 1955 barulah surat-surat tersebut didedahkan, disertakan dengan data-data biografi Nobel.

Sri Kantha pernah menyatakan bahawa 'satu sifat keperibadian Nobel yang membantu beliau mengasah kreativitinya termasuklah kebolehan mencapai maklumat melalui kefasihan berbilang bahasa. Meskipun tidak menerima pendidikan menengah dan tinggi secara formal, namun Nobel petah berbahasa Sweden, Perancis, Rusia, Inggeris, Jerman dan Itali. Beliau juga mengembangkan kemahiran bertulisnya untuk mengarang puisi berbahasa Inggeris.' Prosa pementasan tragedi Nemesis karya beliau yang mengisahkah Beatrice Cenci, yang menerima sedikit ilham dari The Cenci karya Percy Bysshe Shelley, dicetak sewaktu beliau menghampiri ajalnya. Seluruh bekalan cetakan karya itu dimusnahkan serta-merta selepas pemergian beliau kecuali tiga salinan, kerana didapati bersifat melampau dan kufur. Edisi terawal yang masih ada (versi dwibahasa Sweden-Esperanto) diterbitkan di Sweden pada tahun 2003. Pementasan ini telah diterjemah ke bahasa Slovenia melalui versi bahasa Esperantonya.

Alfred Nobel dikebumikan di Norra begravningsplatsen di Stockholm.

Rujukan

WikiPedia: Alfred_Bernhard_Nobel http://azer.com/aiweb/categories/magazine/43_folde... http://azer.com/aiweb/categories/magazine/ai102_fo... http://www.findagrave.com/cgi-bin/fg.cgi?page=gr&G... http://www.time.com/time/magazine/article/0,9171,9... http://socialarchive.iath.virginia.edu/ark:/99166/... http://catalogo.bne.es/uhtbin/authoritybrowse.cgi?... http://aleph.nli.org.il/F/?func=find-b&local_base=... http://data.bibliotheken.nl/id/thes/p071400427 http://www.nobel.no/eng_com_will1.html http://isni.org/isni/0000000121290017