Kaedah Alih_suara

Penggantian dialog berautomasi

Penggantian dialog berautomasi (automated dialogue replacement, ADR), juga dipanggil post-sync atau looping ialah proses merakam semula dialog asal selepas penggambaran dengan tujuan menghasilkan runut bunyi yang lebih jelas.[1]

Dalam kerja penerbitan filem biasa, seorang pengadun bunyi penerbitan merakam dialog ketika penggambaran. Melainkan penggambaran diadakan di pentas bunyi, rakaman bunyi amat mudah terjejas oleh kebisingan dari set, lalu lintas, angin, dan seluruh suasana persekitaran, maka terjadinya hasil rakaman bunyi yang tidak boleh dipakai. Oleh itu, ketika proses pascapenerbitan, seorang penyelia suntingan bunyi atau penyelia ADR menyemak segala dialog dalam filem lalu memutuskan rangkap-rangkap dialog mana yang perlu diganti.

ADR juga digunakan untuk menukarkan rangkap-rangkap yang dirakam terdahulu untuk memperjelaskan konteks, atau menambah baik gaya sebutan dan ketepatan masa perbualan pelakon.

Bagi karya animasi seperti imejan janaan komputer (CGI) atau kartun animasi, dialognya dirakam ke dalam rancangan sebelum disunting. Biarpun semua suara watak-watak dirakam dalam studio, namun ADR diperlukan seandainya bukan semua pengalih suaranya boleh hadir sekaligus pada satu masa.

ADR dirakam dalam sesi ADR yang berlangsung dalam studio bunyi khusus. Pelakon, iaitu biasanya pelakon asal dari set penggambaran, ditunjukkan babak yang perlu dirakam semula bunyinya, lalu cuba melakonkan semula dialognya setepat-tepatnya. Pelakon itu harus mengulangi rangkap-rangkap terbabit berkali-kali sambil memerhati babaknya (maka namanya proses looping), sehingga ambilan mana yang paling sesuai akan diadunkan dalam hasil akhir babak itu.

Kadang-kala, diambilnya pelakon yang berlainan dari pelakon asal dari set. Contohnya, watak siri filem Star Wars Darth Vader yang dilakonkan oleh David Prowse (trilogi asal), diikuti Hayden Christensen (Revenge of the Sith), tetapi disuarakan oleh James Earl Jones dalam proses pascapenerbitan.

ADR juga digunakan untuk melakabkan semula nyanyian. Teknik ini digunakan oleh, antara lainnya, Billy Boyd dan Viggo Mortensen dalam filem Lord of the Rings.[petikan diperlukan]

ADR juga mengalami perubahan dalam prosesnya. Tidak semstinya ADR dilakukan dalam studio pascapenerbitan, bahkan juga boleh dirakam di lokasi penggambaran dengan kelengkapan mobil. ADR juga boleh dirakam tanpa perlunya pelakon menonton babak yang perlu dirakam semula, sebaliknya hanya mendengar dialognya.

Pembubuhan atau penggantian bunyi bukan suara seperti kesan bunyi, ditugaskan kepada artis folei.

Rythmo band

Terdapat satu kaedah alih suara alternatif yang dipanggil rythmo band (Bahasa Perancis: bande rythmographique / bande rythmo) yang sinonim dengan amalan alih suara di Perancis tetapi juga diamalkan di Kanada dan Belgium. Ini memberikan panduan yang lebih persisi bagi pelakon, pengarah dan juruteknik malah juga boleh digandingkan dengan kaedah ADR tradisional. Pada mulanya "band" ini merupakan basi filem 35 mm jernih yang tertulis dengan dakwat dialog dan juga kiu-kiu lain bagi pelakon suara termasuk ketawa, tangisan, panjang suku kata, bunyi mulut, hembusan, dan buka tutup mulut. Rythmo band dipancarkan di studio dan menatal seiring dengan filem gambar.

Penggunaan studio lebih cekap masa kerana dengan bantuan teks tatal, gambar dan kiu audio, pelakon dapat membaca dengan kadar yang lebih cepat daripada ADR biasa (gambar dan audio sahaja). Dengan ADR, pelakon membaca 10–12 baris sejam, sementara rythmo band boleh membantu pembacaan sebanyak 35-50 baris sejam.[2]

Dahulu, penyediaan rythmo band menelan banyak masa dan memerlukan kepakaran, maka kaedah ini tidak diamalkan secara meluas. Namun demikian, perisian meniru kaedah ini dan oleh itu mengatasi kekurangan proses rythmo band yang dahulu serta mengurangkan masa yang diperlukan untuk mempersiapkan sesi alih suara.