Sejarah BMW_Sauber

2006

Bagi musim 2006, BMW Sauber menandatangani Nick Heidfeld dari pasukan Williams untuk menjadi pemandu utama, manakala Juara Dunia tahun 1997, Jacques Villeneuve kekal bersama Sauber. Robert Kubica menjadi pemandu ketiga pasukan. Pasukan terus menggunakan kemudahan Sauber, kebanyakannya bagi pembinaan casis dan ujian terowong angin, manakala ibu pejabat BMW di Munich bertanggungjawab untuk membina enjin 2,4 liter P86 V8 yang baru. Ini mengantikan enjin Ferrari yang dilabel sebagai Petronas yang digunakan sejak tahun 1997.

Nick Heidfeld mendapat podium pertama pasukan di Grand Prix Hungary 2006.

Villeneuve mendapat mata pertama pasukan dengan mendapat tempat ketujuh di Grand Prix Malaysia, manakala Heidfeld bersara dari tempat kelima selepas mengalami kegagalan enjin. Heidfeld kemudiannya mendapat tempat keempat di Grand Prix Australia. Pasukan menggunakan penambahan aero "menara berkembar" yang menyeluruh di hadapan kereta semasa sesi latihan di Magny-Cours, Perancis, yang bertujuan mengalirkan udara ke belakang, sekaligus meningkatkan prestasi.[1] Penambahan luar biasa ini segera diharamkan oleh FIA kerana didapati menjejaskan penglihatan pemandu, dan seterus mengancam keselamatan.[2]

Heidfeld mendapat podium pertama pasukan di Hungary setelah bermula dari tempat kesepuluh. Perlumbaan ini juga menyaksikan kemunculan sulung Robert Kubica, yang menggantikan Villeneuve. Kubica mendapat podium pertama kerjayanya selepas mendapat tempat ketiga di Grand Prix Itali. Heidfeld mendapat tempat kelapan, namun menetapkan masa pusingan terpantas perlumbaan yang pertama bagi pasukan. BMW Sauber menamatkan musim di tangga kelima dengan 36 mata kejuaraan dalam Kejuaraan Pengeluar Dunia.

2007

Nick Heidfeld mendapat keputusan terbaik BMW Sauber pada musim 2007, iaitu tempat kedua di Grand Prix Kanada.

Pada 19 Oktober 2006, BMW mengumumkan bahawa Robert Kubica dan Nick Heidfeld akan menjadi pemandu pasukan bagi musim 2007, manakala Sebastian Vettel menjadi pemandu ujian dan simpanan. Timo Glock kemudiannya ditandatangani sebagai pemandu ujian kedua.[3] Pasukan melancarkan kereta musim 2007 mereka, iaitu F1.07, pada 16 Januari 2007.[4]

Kereta baru tersebut menunjukkan prestasi yang baik sepanjang ujian musim sejuk, dan berada di tangga teratas untuk beberapa kali. Walau bagaimanapun, ketua pasukan, Mario Theissen, memberitahu bahawa terdapat beberapa kebimbangan kebolehpercayaan kereta sebelum perlumbaan pembukaan musim ini di Australia. Kubica terpaksa bersara disebabkan masalah kotak gear, namun Heidfeld mendapat tempat keempat. Dalam beberapa perlumbaan awal musim ini, Heidfeld dan Kubica mendapat beberapa keputusan yang baik dan BMW Sauber menjadi pasukan ketiga terpantas, di belakang Ferrari dan McLaren.

Di Grand Prix Kanada, Heidfeld mendapat tempat kedua, namun Kubica mengalami sebuah kemalangan yang teruk sehingga kereta keselamatan terpaksa berada di litar bagi tempoh masa yang lama. Vettel mengantikan Kubica bagi Grand Prix Amerika Syarikat, dan mendapat tempat kelapan, sekaligus menjadi pemandu termuda untuk mendapat mata dalam sebuah perlumbaan Kejuaraan Dunia Formula Satu.

Kubica kembali berlumba di Grand Prix Perancis dan mendapat tempat keempat. Pasukan mendapat 101 mata kejuaraan dan mendapat tempat kedua dalam kejuaraan pengeluar, selepas McLaren disingkirkan dari kejuaraan tahun tersebut.

2008

Robert Kubica memenangi Grand Prix Kanada 2008.

Pada Ogos 21 2007, BMW telah mengesahkan bahawa Heidfeld dan Kubica akan menjadi pemandu pasukan bagi musim 2008.[5] Kereta 2008 mereka, iaitu F1.08, dilancarkan secara rasmi di BMW Welt pada 14 Januari 2008. Robert Kubica membuat penampilan sulung F1.08 di atas litar pada hari berikutnya di Valencia.

BMW Sauber memulakan musim dengan baik dengan Kubica hampir mendapat petak pertama di Australia. Beliau kemudiannya bersara selepas dilanggar oleh Kazuki Nakajima tetapi Heidfeld mendapat tempat kedua. Kubica mendapat tempat kedua di Malaysia, dengan Heidfeld di tempat keenam dan menetapkan masa pusingan terpantas perlumbaan tersebut. Di Grand Prix Bahrain, Kubica mendapat petak pertama yang pertama bagi pasukan. Pasukan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat.

Robert Kubica mendapat tempat kedua di Grand Prix Monaco, dan mengalahkan kedua-dua pemandu pasukan Ferrari dan hanya tiga saat di belakang pemandu McLaren, Lewis Hamilton.

Di Grand Prix Kanada, BMW Sauber mendapat kemenangan mereka yang pertama. Pasukan mendapat keputusan 1-2, dengan Robert Kubica memenangi perlumbaan dan Nick Heidfeld mendapat tempat kedua. Kemenangan tersebut datang selepas Lewis Hamilton berlanggar dengan Kimi Räikkönen di lorong pit, dan menyebabkan mereka berdua untuk bersara.

Selepas kejayaan pasukan itu, pembangunan telah beralih kepada pembangunan kereta musim 2009, di mana peraturan-peraturan yang baru akan digunakan. Ini menyebabkan Kubica menjadi marah, (yang mendahului kejuaraan selepas Grand Prix Kanada), kerana merasakan bahawa mereka mempunyai peluang yang realistik untuk memenangi sekurang-kurangnya satu kejuaraan. Kekurangan pembangunan pada musim ini dicerminkan oleh prestasi pasukan yang merudung, dan ini menyebabkan BMW diatasi oleh pasukan Renault, Toyota dan Toro Rosso (yang memulakan musim sebagai salah satu pasukan yang paling perlahan) menjelang akhir musim . Walaupun bagaimanapun, Kubica masih berpeluang untuk memenangi kejuaraan pemandu sehingga Grand Prix China, iaitu pusingan ke-17 daripada 18.

Pada bulan Oktober, pasukan mengesahkan bahawa mereka akan terus mengekalkan Robert Kubica dan Nick Heidfeld sebagai pemandu mereka bagi musim 2009.[6]

2009

Nick Heidfeld di Grand Prix Singapura 2009.

Walaupun BMW Sauber menyasarkan musim 2009 sebagai tahun mengecapi kejayaan, prestasi pasukan pada awal musim agak mengecewakan. Kubica berada di tempat ketiga pada perlumbaan pertama musim apabila beliau berlanggar dengan Sebastian Vettel. Heidfeld kemudiannya mendapat podium pertama pasukan bagi musim ini di Malaysia, tetapi selepas enam perlumbaan, BMW Sauber hanya mendapat 6 mata, dan menduduki tempat kelapan dalam Kejuaraan Pengeluar Dunia daripada sepuluh pasukan.

Berikutan mesyuarat lembaga BMW pada 28 Julai, BMW mengesahkan bahawa mereka akan menarik diri selepas musim 2009.

Pada 15 September 2009, ia telah diumumkan bahawa BMW Sauber berjaya mencari pembeli, iaitu Qadbak Investments Limited. Walau bagaimanapun, Lotus telah diberikan slot ke-13 dan terakhir dalam Kejuaraan 2010. BMW Sauber pula diberikan tempat ke-14, yang bergantung jika satu lagi pasukan menarik diri atau semua pasukan lain bersetuju agar 28 pelumba menyertai Kejuaraan 2010.

Pada November 22, akhbar di negara Switzerland, SonntagsZeitung, mendedahkan bahawa usaha Qadbak untuk membeli pasukan telah gagal kerana mereka tidak mempunyai dana yang diperlukan. Pada November 27, 2009, ia telah diumumkan bahawa Peter Sauber akan membeli balik pasukannya.[7] FIA kemudiannya memberikan kemasukan untuk Sauber pada Disember 3. Pasukan tersebut menggunakan enjin Ferrari bagi musim 2010.

Pasukan mengekalkan nama BMW Sauber untuk musim 2010, meskipun menggunakan enjin Ferrari.

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: BMW_Sauber http://www.autosport.com/news/report.php/id/80429 http://bmw-motorsport.com/ms/en/index.html http://www.bmw-sauber-f1.com/ http://www.grandprix.com/ns/ns17888.html http://www.grandprix.com/ns/ns17947.html http://web.archive.org/web/20070103180042/http://w... http://web.archive.org/web/20070120005958/http://w... http://web.archive.org/web/20080311082841/http://n... http://web.archive.org/web/20091206035817/http://w... http://news.bbc.co.uk/sport1/hi/motorsport/formula...