Tulisan Bahasa_Malayalam

Skrip Grantha asas

Pada awal abad ke-9, /vattezhuthu/ (tulisan bulat) yang boleh dikesani melalui skrip Grantha ke skrip Brahmi seIndia, melahirkan sistem tulisan bahasa Malayalam. Sistem ini berdasarkan suku kata yang harus dibaca sebagai satu unit, walaupun kebanyakan unsur yang melambangkan vokal dan konsonan yang berasingan boleh dikesani dengan mudah. Pada dekad 1960-an, bahasa Malayalam menghapuskan banyak huruf khas yang melambangkan konsonan bertingkat serta gabungan-gabungan vokal /u/ dengan berbagai-bagai konsonan.

Bahasa Malayalam kini terdiri daripada 56 huruf, termasuk 20 vokal panjang dan pendek, dengan yang lain merupakan konsonan. Gaya tulisan yang lebih awal kini digantikan dengan gaya baru sejak tahun 1981. Skrip baru ini telah mengurangkan jumlah huruf naskah bertaip daripada 900 menjadi kurang daripada 90 huruf. Ini telah dilaksanakan untuk membolehkan bahasa Malayalam digunakan untuk papan kekunci mesin taip dan komputer.

Pada tahun 1999, sebuah kumpulan yang digelarkan Rachana Akshara Vedi dan yang diketuai oleh Chitrajakumar dan K.H. Hussein, menghasilkan satu set fon yang terdiri daripada seluruh himpunan aksara yang merangkumi melebihi 900 glif. Ini telah diumumkan dan diterbitkan bersama-sama dengan penyunting pada tahun yang sama di Thiruvananthapuram, ibu negeri Kerala. Pada tahun 2004, fon-fon itu diterbitkan di bawah lesen GNU GPL oleh Richard Stallman daripada Yayasan Perisian Bebas di Universiti Sains dan Teknologi Cochin, Kochi, Kerala.