Awasan Berilium

Berilium dan garamnya adalah bahan bertoksik dan berpotensi sebagai karsinogenik. Beriliosis kronik adalah penyakit granulomatous pulmonari dan sistemik yang disebabkan oleh pendedahan kepada berilium. Penyakit berilium akut dalam bentuk pneumonitis kimia pertama kali dilaporkan di Eropah pada tahun 1933 dan di Amerika Syarikat pada tahun 1943. Kes beriliosis kronik pertama kali diperincikan dalam tahun 1946 di kalangan pekerja dalam kilang penghasilan lampu kalimantang. Beriliosis kronik menyamai sarkoidisis dalam pelbagai perkara, dan diagnosis pembezaan amatlah sukar.

Walaupun sebatian berilium dalam lampu kalimantang telah dihentikan pada tahun 1949, kemungkinan pendedahan kepada berilium masih wujud daripada industri nuklear dan aeroangkasa dan dalam penulenan logam berilium dan peleburan aloi berkandungan berilium, penghasilan alat elektronik dan pengurusan bahan yang mengandungi berilium.

Pengkaji awal merasa berilium dan sebatian-sebatiannya yang lain untuk rasa kemanisan bagi memastikan kehadirannya. Alat diagnostik moden tidak lagi memerlukan prosedur berisiko tinggi ini dan percubaan untuk memakan bahan ini tidak patut dilakukan. Berilium dan sebatiannya haruslah dikendalikan dengan rapi dan pengawasan haruslah dijalankan semasa melakukan kegiatan yang memungkinkan pelepasan habuk berilium (barah peparu adalah antara akibat daripada pendedahan berpanjangan kepada habuk berilium).

Bahan ini haruslah dikendalikan dengan berhati-hati dan prosedur tertentu haruslah dipatuhi. Tidak patut ada percubaan menggunakan berilium sebelum prosedur pengendalian yang tepat diperkenalkan dan dibiasakan.