Latarbelakang Bhagavad_Gita

Bhagavad Gita memerihalkan fikiran sebagai sesuatu yang bergolak dan degil. 'Rata Badan': Kelima-lima kuda mewakili pancaindera (mata, telinga, hidung, lidah, dan kulit). Tali kekang melambangkan fikiran, pemandu ialah kecerdasan, sedangkan penumpang ialah roh.
Kerja seni © dengan ihsan Amanah Buku Bhaktivedanta

Bhagavad Gita diberikan di medan Peperangan Mahabharata di Kurukshetra, yang kini merupakan sebuah bandar kecil di negeri Haryana, 120 km dari New Delhi.

Bhagavad Gita bermula dengan soalan Dhritarashtra kepada Sanjaya tentang keadaan di medan Kurukshetra. Dengan kesaktiannya, Vyasa telah memberikan Sanjaya mata mistik untuk melihat semua peristiwa yang berlaku jauh di Kurukshetra. Demikian, Sanjaya dapat menceritakan kepada Dhritarashtra perkembangan di medan peperangan itu.

Sebelum permulaan perang kemuncak, Arjuna, putera Pandava meminta Sri Krishna untuk membawa kereta pedatinya ke tengah-tengah pasukan Kaurava dan Pandava. Selepas melihat kedua-dua pihak yang akan bertempur, Arjuna mula bercakap seolah-olah dia tidak sanggup untuk berperang. Beliau memberi alasan bahawa pasukan Kuru terdiri daripada saudara-mara dan kawan-kawan sendiri, serta para guru yang dihormatinya. Walaupun para Kaurava pernah berbuat jahat terhadapnya, mereka tetap saudara-saudara dan teman-temannya yang beliau kenal sejak kecil. Disebabkan keraguannya ini, Arjuna meminta nasihat daripada kawan, saudara, pemandu kereta pedati, dan pembimbingnya, Sri Krishna, salah satu avatar Maha Vishnu.

Pada mulanya, Sri Krishna memarahi Arjuna kerana berkelakuan seperti seorang pengecut. Kemudian, Sri Krishna menunjukkan bahawa Arjuna berada dalam delusi. Arjuna telah terkeliru dan tidak dapat membezakan antara emosi dan kerohanian. Sebagai seorang Aryan yang beradab, Arjuna tidak harus berkelakuan sedemikian. Tindakan Arjuna tidak sepadan dengan kedudukannya, mencemuh statusnya sebagai seorang wira dan seterusnya akan menafikan haknya untuk memasuki syurga. Sebagai seorang wira Kshatriya, Arjuna mempunyai tanggungjawab untuk berperang demi keadilan.

Seterunya, Sri Krishna mengingatkan Arjuna tentang kekuatan semulajadinya yang berasal daripada Atman atau Ketuhanan Rohnya. Roh manusia adalah abadi, Kematian hanya merupakan pelepasan tubuh, tetapi roh masih kekal. Krishna meneruskan dengan penjelasan laluan yoga terhadap pengabdian, tindakan, tafakur dan pengetahuan.

Pada dasarnya, Bhagavad Gita mengusulkan bahawa kesedaran yang benar datangnya daripada pelepasan persamaan diri dengan ego, dan sesorang harus menyamakan diri dengan Roh yang abadi (Atman; ), iaitu Kesedaran Ketuhanan yang muktamad. Melalui pemisahan diri daripada Ego peribadi, seorang yogi, iaitu pengikut sesuatu laluan Yoga, dapat mengatasi kematian dan menjauhi diri daripada perapatan kepada dunia kebendaan untuk melihat Tuhan (Brahman).

Untuk menunjukkan ketakterhinggaan Brahman yang tidak dapat diketahui, Krishna memberikan Arjuna visi kosmos (walaupun hanya buat sementara sahaja), dan membenarkan putera itu melihatNya dalam semua Kemuliaan Ketuhanan. Krishna mendedahkan bahawa pada dasarnya, Beliau adalah kedua-dua intisari muktamad bagi Kewujudan di dalam alam semesta, serta jasad fizikal alam semesta ini yang dipanggil Vishvarupa/Viratrupa.

Gita merujuk kepada perang ini sebagai "Dharma Yuddha" yang hanya bermaksud "perang demi kebaikan". Bab 4, rangkap 7 menyatakan dengan jelas bahawa Tuhan menjelma untuk menegakkan semula Dharma di dunia ini.