Sejarah Bulgaria

Budaya Eropah Lama di wilayah Bulgaria masa ini mula mengeluarkan artifak emas sejak alaf ke-5 SM.[1] Bagaimanapun, identiti kenegaraan dan negara Bulgaria muncul hanya sejak abad ke-7 Masihi. Semua entiti politik Bulgaria kemudian yang kekadang merangkumi hampir semua kawasan Balkan mengekalkan tradisi (nama etnik, bahasa, dan abjad) Empayar Bulgaria Pertama (632/681 – 1018) dan menyebarkan abjad, sastera, dan budayanya kepada orang Slavik serta juga orang-orang yang lain di Eropah Timur. Berabad-abad kemudian, dengan kemerosotan Empayar Bulgaria Kedua (1185 – 1396/1422), kerajaan-kerajaan Bulgaria dikuasai oleh Empayar Uthmaniyyah selama hampir lima abad.

Perang Rusia-Turki yang berlangsung antara 1877 hingga 1878 menyebabkan pengasasan semula negara Bulgaria sebagai sebuah pemerintahan raja perlembagaan pada 1878, dengan Perjanjian San Stefano menandakan kelahiran Negara Bulgaria Ketiga. Dengan persengketaan sosial dirancang di tengah-tengah Empayar Uthmaniyyah, kerajaan Aleksandar Malinov dan Putera Ferdinand dari Bulgaria mengisytiharkan kedaulatan penuh negara Bulgaria di ibu negara kuno, Veliko Tarnovo.[2]

Pada 1945, selepas Perang Dunia II, Bulgaria menjadi sebuah negara komunis serta sebahagian Blok Timur. Todor Zhivkov menguasai politik Bulgaria selama 33 tahun antara 1956 sehinggalah 1989. Pada 1990, selepas Revolusi 1989, Parti Komunis menyerahkan kuasanya dan Bulgaria beralih kepada sistem demokrasi dan kapitalisme pasaran bebas lalu mengamalkan sistem berparlimen di dalam sebuah republik berperlembagaan satuan.

Sebagai salah satu anggota Kesatuan Eropah, NATO, dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Bulgaria mempunyai Indeks Pembangunan Manusia yang tinggi sebanyak 0.834 dan ditempatkan nombor 56 di dunia pada tahun 2006.[3] Pada 2008, Freedom House menyenaraikan Bulgaria sebagai "bebas", dan memberikannya skor 1 (tertinggi) untuk hak politik serta skor 2 untuk kebebasan awam.[4]