Kegunaan Burj_Khalifa

Burj Khalifa direka untuk menjadi titik pusat projek pembangunan pelbagai kegunaan besar-besaran yang merangkumi 30,000 buah rumah, sembilan buah hotel termasuk The Address Downtown Burj Dubai, kawasan taman seluas 3 hektar (7.4 ekar), sekurang-kurangnya 19 buah menara perumahan, pusat beli-belah Dubai Mall, dan Tasik Burj Khalifa buatan manusia seluas 12-hektar (30-ekar).

Bangunan ini telah membawa kembali rekod struktur bebas tertinggi di Bumi ke Timur Tengah, di mana terbinanya Piramid Agung Kufu yang mencatat pencapaian ini selama lebih kurang empat ribu tahun sebelum diatasi oleg Gereja Besar Lincoln di England, United Kingdom pada tahun 1311.

Dilaporkan bahawa keputusan untuk membina Burj Khalifa berasaskan keputusan kerajaan untuk mengalihkan tumpuan ekonominya dari tertumpu kepada galian minyak kepada sektor perkhidmatan dan pelancongan. Menurut kata-kata para pegawai, perlunya projek-projek seperti Burj Khalifa dibina dalam bandaraya adalah untuk meraih lebih pengiktirafan dan pelaburan antarabangsa. "Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum hendak memperjelaskan nama Dubai dalam peta dunia dengan sesuatu yang penuh sensasi," kata Jacqui Josephson, seorang eksekutif pelancongan dan perwakilan VIP di Nakheel Properties.[32]